Siakap Keli
whatsapp panggilan nombor
Kredit: Mark Zuckerberg/Facebook

WhatsApp Perkenalkan Ciri Baharu, Senyapkan Panggilan Nombor Tidak Dikenali

WhatsApp Perkenalkan Ciri Baharu, Senyapkan Panggilan Nombor Tidak Dikenali

WhatsApp hari ini telah memperkenalkan ciri baharu untuk menyenyapkan panggilan secara automatik daripada nombor yang tidak dikenali, lapor TechCrunch.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg mengumumkan ciri itu bersama dengan pilihan pemeriksaan privasi baharu pada Selasa.

“Anda kini boleh menyenyapkan panggilan masuk secara automatik daripada kenalan yang tidak dikenali di WhatsApp untuk lebih privasi dan kawalan,” katanya di Facebook pada hari ini.

Difahamkan, ciri itu bertujuan untuk memberikan pengguna kawalan yang lebih besar ke atas panggilan masuk, menawarkan perlindungan yang dipertingkatkan terhadap spam, penipuan dan pemanggil yang tidak dikenali.

Dengan senyapkan pemanggil tidak dikenali, pengguna WhatsApp boleh menyaring panggilan yang tidak diingini secara automatik daripada kenalan yang nombornya tidak disimpan.

WhatsApp berkata semasa panggilan yang dibuat daripada nombor yang tidak dikenali disenyapkan secara automatik, ia akan memaparkan notifikasi senarai panggilan aplikasi.

Perkara itu dibuat sekiranya mahu melakukan semakan kemudian jika orang yang dikenali ada dalam senarai tersebut tetapi mereka tiada nombor anda.

BACA: WhatsApp Desktop Kini Boleh Buat Panggilan Video Sehingga 8 Orang

Cara-cara untuk hidupkan penyenyap pemanggil

Pengguna akan dapat menghidupkan pilihan ini dengan pergi ke Tetapan, kemudian pilih Privasi, tekan bahagian Panggilan dan pilih Senyapkan pemanggil tidak dikenali.

Tetapan > Privasi > Panggilan > pilih ‘Senyapkan pemanggil tidak dikenali’.

Kredit: TechCrunch

Apabila anda mendapat panggilan daripada nombor tidak dikenali, telefon hanya akan menunjukkan kepada anda nombor tersebut bersama-sama dengan mesej ‘nombor yang tidak diketahui disenyapkan’. 

Dalam pada itu, WhatsApp juga telah menambah ciri pemeriksaan privasi baharu yang akan muncul di bahagian Privasi.

Kredit: TechCrunch

Semakan akan membawa anda melalui beberapa langkah untuk memaklumkan tentang kawalan privasi berbeza seperti ‘Pilih orang yang boleh menghubungi anda’, ‘Kawal maklumat peribadi anda’, Tambahkan lebih privasi pada sembang anda’ dan ‘Tambahkan lebih perlindungan pada akaun anda’.

Pengguna boleh menukar tetapan seperti pengesahan dua faktor, memutuskan siapa yang boleh menambahkan diri pada kumpulan, menetapkan pemasa lalai (default timer) untuk mesej hilang dan mengawal siapa yang boleh melihat gambar profil mereka melalui proses ini.

Bulan lalu, WhatsApp melancarkan kemas kini back-end untuk mengurangkan panggilan spam kepada pelanggan di India.

Syarikat itu berkata ia meningkatkan kapasiti pengesanan berasaskan pembelajaran mesin dan menjangkakan panggilan ini berkurangan sebanyak 50%.

Sumber: Mark Zuckerberg/Facebook, Tech Crunch

 

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana