Siakap Keli
kapal selam meletup
Kredit: Daily Mail

Kapal Selam Titan Dipercayai Mungkin Meletup, Berkecai Jadi Serpihan Kecil – Dakwa Pakar

Kapal Selam Titan Dipercayai Mungkin Meletup, Berkecai Jadi Serpihan Kecil – Dakwa Pakar

Kapal selam Titan yang hilang pada Ahad dipercayai mungkin telah meletup beribu-ribu kaki di bawah permukaan laut, menurut seorang penyelam berpengalaman, G. Michael Harris,  lapor Daily Mail.

G. Michael Harris berkata beliau berkemungkinan mengenali tiga daripada lima penumpang yang mengikuti ekspedisi itu dan tidak yakin mereka dapat diselamatkan.

Beliau turut percaya tiada apa yang dapat dilakukan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) untuk menyelamatkan mangsa kapal selam itu.

“Kejadian buruk boleh berlaku apabila sesuatu berlaku pada badan kapal dan ketakutan kami ialah ia meletup kira-kira 3,200 meter, sedalam 10,000 kaki,” kata Harris, memetik Daily Mail.

Pada kedalaman tersebut, berat air akan memberikan tekanan yang melampau pada badan Titan yang hilang berkenaan, sekitar 6,000 paun pada setiap inci persegi badan kapal.

Pada malam Isnin, Harris menjelaskan bahawa Titan ‘jatuh’ menyelam ke dalam lautan yang ‘luar biasa’ untuk menuju ke arah lokasi terletaknya bangkai kapal Titanic.

Selaman itu kemungkinan mengambil masa anggaran kira-kira dua setengah jam untuk ‘jatuh’ lebih daripada 10,000 kaki ke bawah (dasar laut).

Tambahnya, beliau merasakan pasukan US Navy tidak dapat melakukan apa-apa pada ketika ini.

“Apabila anda bercakap mengenai 6,000 paun setiap inci persegi, ia adalah persekitaran yang berbahaya.

“Lebih ramai orang yang telah memilih untuk pergi ke angkasa lepas berbanding menuju ke lautan ini.

“Anda perlu melakukan segala-galanya dengan sempurna mengikut buku panduan,” jelasnya mengenai risiko misi ke dasar laut lebih tinggi berbanding ke angkasa lepas.

‘Mungkin berlaku runtuhan, letupan dahsyat’ – dakwa pakar

Kredit: Sky News

Sementara itu, pakar, Dr. David Gallo yang mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang jurupandu Titan, Paul-Henri Nargeolet turut optimis berpendapat sama sedemikian.

Jelasnya seperti yang dilapor Sky News semalam, kapal selam Titan dipercayai mungkin telah meletup dan berkecai menjadi serpihan-serpihan kecil.

Menurutnya, Titan sepatutnya mengambil masa kira-kira dua jam selaman untuk tiba di destinasi bangkai kapal Titanic di dasar laut.

Bagaimanapun difahamkan kapal selam itu telah terputus hubungan (isyarat radio) sejam 45 minit selepas ia mula menyelam pada Ahad.

“Jika mereka tidak berada di situ (di lokasi bangkai Titanic), itu bermakna ada sesuatu yang berlaku pada paras pertengahan air laut (sewaktu dalam perjalanan) yang membuatkan mereka hilang isyarat komunikasi,” katanya.

Kata Dr Gallo, perkara terburuk yang mungkin boleh berlaku adalah letupan dan ‘keruntuhan’ kapal selam berkenaan – yang terjadi dengan begitu dahsyat.

“Tiada apa yang ‘kembali’ dari itu. Saya perlu mengatakan bahawa ia mesti menjadi satu kesimpulan utama di sini – yang tidak senang untuk difikirkan.

“Saya tak tahu macam mana anda (Titan & mangsa) boleh hilang sepantas itu,” tambahnya.

Identiti lima penumpang dipercayai dikenal pasti

Lima penumpang yang berada di dalam Titan yang mempunyai keluasan 22 kaki membawa pelancong berbayar untuk melihat bangkai kapal pada kedalaman 12,500 kaki di bawah air.

Sebelum ini, Titan dilaporkan telah hilang dari isyarat (radar) pada Ahad di sekitar Lautan Atlantik, 370 batu dari pantai Newfoundland, Kanada.

Jutawan Britain Hamish Harding telah disahkan sebagai salah seorang daripada lima penumpang di dalam kapal itu, bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Stockton Rush.

Kredit: Daily Mail

Termasuk juga, penjelajah Perancis, Paul-Henri Nargeolet, ahli perniagaan Pakistan yang berpangkalan di UK, Shahzada Dawood dan anak lelakinya Sulaiman Dawood yang berusia 19 tahun.

Krew penyelamat dari UK dan Kanada masih berusaha mencari kapal itu yang difahamkan kali terakhir dikesan berada berdekatan bangkai Titanic, sebelum oksigen di dalam kapal kehabisan.

Kapal selam itu dipercayai mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi untuk bertahan di bawah air sehingga 12 tengah hari waktu UK pada Khamis.

Bagaimanapun sekiranya benar ia meletup pada kedalaman tersebut, ditambah pula dengan tekanan 6,000 paun setiap persegi, ini bermakna harapan untuk ia ditemui semula sangat tipis.

Menurut laporan, jika mana-mana bahagian badan gentian karbon dan titanium pada struktur kapal selam itu mengalami keretakan atau kerosakan kecil, maka letupan maut dipercayai akan menyusul selepas itu.

BACA: Kapal Selam Sertai Ekspedisi Titanic Hilang Di Pantai Timur Kanada

Ekspedisi bermula dari awal Mei hingga akhir Jun

Kredit: Daily Mail

Ekspedisi itu dijadualkan berlepas dari St. John, Newfoundland, pada awal Mei dan selesai pada akhir Jun, menurut dokumen yang difailkan oleh syarikat itu pada April.

OceanGate berkata di laman webnya bahawa penumpang tidak perlu mempunyai pengalaman menyelam.

Bagaimanapun terdapat beberapa kemahiran fizikal yang diperlukan daripada mereka seperti boleh menaiki bot kecil di laut.

Perjalanan itu berlangsung selama lapan hari termasuk menyelam selama dua jam ke bangkai Titanic dan tempoh yang sama juga berlaku semasa perjalanan naik ke darat.

Sumber: Daily Mail / Sky News

BACA: Ini Rupanya Controller Kapal Selam Titan Ketika Menuju Bangkai Titanic Sebelum Hilang

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana