Siakap Keli
serpihan kapal selam oceangate ditemui
Kredit CTV News

Serpihan Kapal Selam OceanGate Ditemui 1,600 Kaki Dari Bangkai Titanic

Serpihan Kapal Selam OceanGate Ditemui 1,600 Kaki Dari Bangkai Titanic

Pengawal Pantai Amerika Syarikat mengesahkan kapal selam OceanGate mengalami “bencana ruang tekanan” dan telah menemui serpihan daripada kapal selam tersebut di dasar laut.

Syarikat Ocean Gate pada khamis turut mengesahkan bahawa lima orang yang menaiki kapal selam tersebut semasa pelayaran ke bangkai Titanic dilaporkan terkorban dan tidak dapat diselamatkan.

“Ini adalah persekitaran yang mempunyai tekanan yang kuat dan serpihan yang ditemui sepadan dengan letupan dahsyat kapal selam itu,” kata Laksamana Pengawal Pantai John Mauger kepada pemberita.

Seorang pegawai Tentera Laut AS berkata, Tentera Laut mengesan ‘anomali akustik yang konsisten dengan letupan’ sejurus kapal selam itu terputus hubungan Ahad lalu.

Maklumat itu kemudiannya disampaikan kepada Pengawal Pantai dan bertindak mengecilkan radius kawasan pencarian, kata pegawai itu.

Sementara itu, bunyi dentuman yang dikesan sepanjang minggu itu didakwa sebagai bunyi dari kapal lain di kawasan tersebut, lapor David Martin wartawan CBS News.

Pada pagi Khamis, sebuah ROV atau kenderaan yang dikendalikan dari jauh milik Kanada telah menemui kon ekor kapal selam itu. Penemuan dibuat kira-kira 1,600 kaki dari haluan Titanic, kata Mauger semasa taklimat di Boston petang Khamis lalu.

Menurutnya, lebih banyak serpihan ditemui dan pihak berkuasa sedang berunding dengan pakar untuk menentukan serpihan yang ditemui.

Penelitian serpihan yang ditemui lebih dua batu di bawah permukaan air adalah konsisten dengan kapal selam yang dinamakan Titan tersebut.

“Bagi pihak Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan seluruh pasukan bersatu, saya mengucapkan takziah kepada kelaurga,” kata Mauger.

“Saya hanya boleh bayangkan bagaimana keadaan ini untuk keluarga mangsa. Saya berharap dengan penemuan ini memberikan sedikit ketenangan dalam masa yang sukar ini,” tambahnya.

Mangsa terdiri daripada ahli perniagaan Pakistan Shazada Dawood dan anak lelakinya Suleman yang berusia 19 tahun.

Seorang pengembara bilionair Hamish Harding, penjelajah Perancis Paul-Henri Nargeolet dan pengasas OceanGate, Stockton Rush.

Paul Hankins, pakar penyelamat Tentera Laut AS pada taklimat itu berkata bahawa kapal selam tersebut ditemui berselerak. Justeru pasukan itu “akan melakukan yang terbaik untuk memetakan sepenuhnya apa yang ada di bawah sana.”

“Pada asasnya kami menemui lima serpihan utama berbeza yang memberikan kami petunjuk bahawa ia adalah sisa Titan. Objek pertama yang kami temui ialah kon hidung,” katanya.

“Kami kemudiannya menemui medan serpihan yang besar diikuti dengan medan serpihan kedua yang lebih kecil,” tambah Paul lagi.

Carl Hartsfield dari Institusi Oseanografi Wood Hole berkata bangkai kapal selam itu ditemui di kawasan licin di dasar laut. Di mana tidak ada serpihan lain dari kapal laut yang tenggelam dalam pelayaran sulungnya pada 1912 lalu.

Sementara itu, Mauger berkata masih terlalu awal untuk mengetahui bila kapal selam itu meletup.

“Kami tahu kerana operasi mencari telah dibuat dalam tempoh 72 jam yang lalu. Kami juga mempunyai pelampung sonar di dalam air dan tidak mengesan sebarang kejadian bencana sepanjang ia berada di dalam air,” kata Mauger.

Sebelum ini, kapal selam itu telah dilancarkan ke Atlantik dari kapal penyelidikan Kanada pada Ahad lalu. Kapal itu kemudiannya terputus hubungan dengan Titan 1 jam 45 minit selepas ia menyelam.

“Saya tahu bahawa terdapat banyak persoalan yang muncul dari orang ramai. Saya yakin persoalan itu akan segera terjawab,” kata Mauger lagi.

BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu

Selain itu, robot bawah air akan kekal di tapak carian untuk mengumpulkan maklumat tambahan mengenai kapal selam itu. Satu lagi robot dari kapal Perancis turut dilancarkan ke dalam air pada semalam.

“Ini adalah kes yang sangat kompleks dan kami masih berusaha untuk mendapatkan butiran yang jelas untuk garis masa yang terlibat dengan mangsa,” tambah Mauger.

Ditanya mengenai prospek untuk mendapatkan semula mayat si mati, Mauger berkata: “Kami akan terus bekerja dan terus mencari di kawasan bawah sana. Tetapi saya tidak mempunyai jawapan untuk prospek itu pada masa ini.”

Sumber: CBS News

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.