Siakap Keli
penumpang ramah keldai dadah
Kredit: Facebook

Disapa Penumpang Peramah Dalam Pesawat, Wanita Dedah Nyaris Jadi Keldai Dadah

Disapa Penumpang Peramah Dalam Pesawat, Wanita Dedah Nyaris Jadi Keldai Dadah

Bertemu dengan penumpang yang ramah ketika menaiki kapal terbang adalah salah satu perkara yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika anda bergerak secara solo.

Selain mendapat pengetahuan baharu, anda juga berpeluang untuk mengikat talian persahabatan dengan orang yang baharu. Sekurang-kurangnya, sempat juga anda berbual walau seketika di dalam pesawat.

Namun, seorang pengguna Facebook berkongsi pengalaman buruk selepas bertegur sapa dengan seorang penumpang yang ramah.

Menurut Omoba Deo dalam perkongsian tersebut, dia nyaris menjadi keldai dadah disebabkan penumpang peramah tersebut.

Kisahnya bermula apabila seorang warga emas datang dan duduk bersebelahannya ketika dalam penerbangan. Warga emas itu pada mulanya meminta bantuan untuk membantunya meletakkan beg pada ruang bagasi yang terletak dalam ruang kabin.

Namun, atas faktor ketinggian, Deo tidak dapat memberikan bantuan sebelum seorang lelaki dewasa menghulurkan bantuan kepada warga emas berkenaan.

“Warga emas tersebut serta-merta memulakan perbualan dengan saya. Dari sifatnya, dia kelihatan agak mudah didekati dan ramah. Maka, kami berbual sepanjang penerbangan ke Dubai,”

Namun, keadaan mulai aneh ketika kapal terbang tersebut hendak mendarat di Lapangan Antarabangsa Dubai.

‘Rakan baharunya’ tiba-tiba mengadu sakit perut dan Deo dengan baik hatinya, meminta bantuan daripada kru penerbangan.

Deo memberitahu kru penerbangan bahawa warga emas yang duduk di sebalahnya kurang sihat.

“Secara tiba-tiba, wanita tersebut memanggil saya dengan gelaran ‘anakku’,” kata Deo.

Sementara itu, pramugari kemudian memberitahu Deo bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Bagaimanapun, mereka memberikan ubat tahan sakit kepada warga emas itu dan memintanya menunggu sehingga kapal terbang mendarat.

Juruterbang kemudian mengumumkan bahawa terdapat kes kecemasan perubatan dalam penerbangan dan meminta penumpang untuk kekal tenang.

“Rakan baru saya menangis dan berpeluh bagai nak gila. Dia juga tidak mahu melepaskan tangan saya, orang ramai mungkin berfikiran kami mengenali antara satu sama lain,” kata Deo lagi.

Tidak lama selepas itu, kapal terbang selamat mendarat di Dubai. Lelaki yang membantu meletakkan beg warga emas itu sekali lagi membantu wanita menurunkan begnya dari ruang bagasi.

Lekaki berkenaan kemudian secara perlahan-lahan mendekati Deo dan memintanya berhati-hati dengan warga emas tersebut. Dia juga menasihati Deo supaya menjelaskan kepada pramugari dan petugas keselamatan bahawa dia dan warga emas itu tidak mengembara bersama, sekiranya ditanya.

Ketika sedang bersiap-siap untuk turun dari pesawa, kru penerbangan kemudian menghampiri Deo dan bertanya sama ada dia adalah kenalan kepada warga emas itu.

Teringat pesanan lelaki sebelum ini, Deo menjelaskan warga emas itu bukan kenalannya dan mereka bertemu buat kali pertama dalam pesawat ini.

Selepas itu, mereka mula keluar dari pesawat dan Deo mengucapkan selamat tinggal kepada wanita tersebut. Namun secara tiba-tiba, warga emas tersebut merayu meminta Deo membawa begnya.

“Saya rasa bersalah… tetapi lelaki tadi melihat saya dan memahami situasi saya sambil menganggukkan kepala.”

Lelaki tersebut kemudian memberikan Deo sehelai nota, memberitahunya agar membiarkan kru penerbangan melayani karenah wanita itu.

Maka, Deo meninggalkan pesawat tersebut dan sementara warga emas itu menunggu untuk dibawa keluar menggunakan kerusi roda.

Wanita tersebut seakan-akan tidak mahu melepaskan Deo

Deo dalam pada itu, mengakui serba salah apabila meninggalkan warga emas berkenaan begitu sahaja. Namun begitu, dia kemudian mendengar bunyi kecoh ketika menunggu bagasinya.

“Rupanya warga emas itu cuba melarikan diri dan bangkit daripada kerusi roda. Dia juga cuba meninggalkan beg miliknya kepada pramugari,” katanya.

Mujurlah, pasukan keselamatan sudah maklum dengan situasi tersebut dan pantas menahan warga emas berkenaan. Dia kemudian dibawa pergi dalam keadaan tangan bergari.

Ketika itu juga, warga emas itu melihat Deo sekali lagi dan mula bercakap perkara yang tidak masuk akal.

”Dia menjerit ke aras saya ”Anakku..anakku, sanggup kamu buat mak macam ini”,” kata Deo lagi.

Deo ternyata begitu terkejut dengan situasi tersebut. Rupa-rupanya warga emas berkenaan cuba menyeludup dadah ke negara itu dan cuba menjadikan Deo sebagai keldai dadah.

Panik dengan situasi berkenaan, mujurlah lelaki yang menegurnya sebelum ini tampil menjelaskan situasi sebenar kepada pasukan keselamatan.

Dia menjelaskan bahawa Deo dan wanita itu tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya bertemu di dalam pesawat tersebut.

Mendengar kenyataan dari lelaki tersebut, pihak polis  mengambil pasport Deo dan meminta wanita tersebut untuk mendedahkan nama penuh Deo, untuk mengujinya.

Walau bagaimanapun, Deo tetap ditahan sementara oleh polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pihak polis kemudian melakukan pemeriksaan pada beg tangan warga emas itu dan hasil siasatan selepas itu mengesahkan tiada cap jari Deo ditemui pada beg berkenaan.

Polis juga mengingatkan Deo agar tidak menyentuh bagasi penumpang lain sama sekali selepas ini, lebih-lebih lagi individu tidak dikenali.

BACA: Isteri Pengendali Kapal Selam Titan Rupanya Keturunan Mangsa Kapal Karam Titanic

Sumber: Òmóbà Dèó Page via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma