Siakap Keli
rampasan kuasa rusia
Kredit: The National

Kenapa Cubaan Rampasan Kuasa Berlaku Di Rusia? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Kenapa Cubaan Rampasan Kuasa Berlaku Di Rusia? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Baru-baru ini, satu krisis telah melanda Rusia di mana satu pemberontakan telah berlaku berikutan dengan percubaan rampasan kuasa tentera yang berlaku di negara itu.

Kredit: Sputnik

Untuk pengetahuan, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah membawa masuk seorang pemimpin tentera upahan yang berkuasa, Yevgeny Prigozhin untuk membantu pencerobohan yang dilakukan ke atas Ukraine sebelum ini. Walau bagaimanapun, pada ketika ini, Prigozhin telah berpaling tadah terhadap tentera Rusia.

Siapa sebenarnya Yevgeny Prigozhin dan bagaimana ia boleh berlaku? Untuk penjelasan lanjut, ikuti perkongsian di bawah ini. 

Siapa Yevgeny Prigozhin dan kenapa beliau penting?

Kredit: AFP

Prigozhin yang berusia 62 tahun itu telah menjadi penyokong kuat ketika perang Rusia di Ukraine dan merupakan pemimpin tertinggi Wagner. Lelaki tersebut telah memainkan peranan penting dalam perang dengan memberi arahan kepada tenteranya.

Wagner mengetuai serangan di Bakhmut ketika perang Rusia ke atas Ukraine.

Kumpulan Wagner adalah rangkaian organisasi yang menyediakan tentera untuk diupah dengan kelulusan Kremlin.

Menurut penyelidikan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, kumpulan itu didakwa telah beroperasi di sebanyak 30 negara dan mempunyai dua kem latihan di Rusia.

Dalam pada itu, Prigozhin dikehendaki oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana konspirasi menipu Amerika Syarikat (AS).

Beliau didakwa mengawasi campur tangan politik dan pilihan raya Agensi Penyelidikan Internet dari 2014 hingga 2018.

Kredit: Washington Post

Apa yang berlaku di Rusia?

Kalau nak tahu, pergolakan yang berlaku telah diramalkan oleh seorang jeneral Rusia yang menyifatkan pencerobohan itu sebagai walk in the park selepas pasukan tentera Putin terperangkap pada tahun lalu membuatkan beliau meminta bantuan daripada sekutu politik lamanya iaitu Prigozhin.

Namun keadaan bertukar tegang sejak Jumaat lalu apabila Prigozhin menuduh tentera Rusia melakukan serangan ke atas tenteranya di sebuah kem di Ukraine.

Dalam hal ini, dua daripada pemimpin tertinggi tentera Putin iaitu Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu dan ketua staf Am Rusia, Valery Gerasimov menjadi sasaran utama Prigozhin.

Malah, dia juga menyeru Shoigu dan Gerasimov untuk menghadapi skuad penembak.

Penglibatan Shoigu dan Gerasimov

Shoigu baru-baru ini memutuskan bahawa semua formasi sukarela mesti menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan pada 1 Julai, yang akan meletakkan tentera upahan Prigozhin di bawah kawalan Shoigu.

Prigozhin yang tidak berpuas hati dengan dasar itu menegaskan bahawa Wagner tidak akan menandatangani perjanjian terbabit.

Di samping itu, pelantikan Gerasimov sebagai komander keseluruhan perang di Ukraine juga dilihat sebagai tamparan buat Prigozhin. Dia dipercayai kehilangan sumber tenaga kerja utamanya apabila Kementerian Pertahanan menghalangnya daripada merekrut tentera di penjara.

Pada Sabtu lalu, tentera Wagner telah merampas kawalan kemudahan tentera utama di bandar barat daya Rostov-on-Don dan mengancam untuk memasuki Moscow.

Prigozhin menyeru agar Rusia menyertai Wagner menentang Shoigu dan Gerasimov. Dia juga menuduh dua individu itu berbohong mengenai perang di Ukraine dan jumlah korban.

Pun begitu, pada hari yang sama, Prigozhin kelihatan berundur dan mengumumkan Wagner akan kembali ke kem lapangan mengikut rancangan.

Tindakan Wagner itu adalah cabaran paling serius buat Putin yang telah memegang kuasa sejak beliau menjadi presiden pada 1999.

Putin dipercayai tidak bercakap sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana sekutu lamanya semakin lantang bertindak.

Bagaimanapun Putin menyatakan Wagner telah mengkhianat Rusia serta rakyat dan berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan itu.

Adakah tindakan itu percubaan rampasan kuasa?

Jeneral tentera Rusia mendakwa bahawa ia adalah satu rampasan kuasa selepas melakukan siasatan terhadap pemimpin Wagner kerana menganjurkan pemberontakan bersenjata.

Namun, Prigozhin menafikan dakwaan itu dan berkata bahawa ia merupakan satu langkah untuk menuntut keadilan.

“Ini bukan rampasan kuasa tentera, tetapi perarakan keadilan,” kata Prigozhin.

Baginya, kejahatan yang ada pada kepimpinan tentera Rusia harus dihentikan.

Kredit: BBC

Capai kata sepakat

Ketika percubaan kuasa tentera berlaku pada Sabtu, Putin telah menggerakkan tentera Rusia untuk menghentikan serangan itu. Difahamkan, terdapat tanda-tanda pertempuran aktif di sepanjang lebuh raya utama yang dilalui oleh konvoi berperisai.

Namun, situasi terkini memperlihatkan Moscow dan Prigozhin mencapai kata sepakat hasil pengantaraan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko lewat Sabtu, lapor Xinhua yang memetik agensi berita RIA Novosti.

Prigozhin telah menerima cadangan Lukashenko untuk menghentikan kemaraan tentera upahan Wagner dan meredakan ketegangan, menurut laporan itu.

Pada pagi Sabtu, Putin memaklumkan rakan sejawatannya dari Belarus mengenai kumpulan Wagner dan situasi di Rusia.

“Presiden Belarus mengadakan perbincangan dengan Yevgeny Prigozhin. Mereka mencapai persetujuan bahawa pertumpahan darah beramai-ramai di wilayah Rusia tidak boleh diterima,” lapor akhbar itu.

Tentera Wagner kemudiannya meninggalkan wilayah Rostov di selatan Rusia dan menuju ke kem lapangan mereka, lapor agensi berita TASS Rusia.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pula memberitahu pemberita bahawa kes jenayah terhadap Prigozhin akan digugurkan, dan beliau akan pergi ke Belarus tanpa mendedahkan apa yang akan dilakukan di sana.

BACA: FSB Siasat Ketua Wagner Atas Cubaan Rampasan Kuasa

Sumber: Washington Post, CBS News, BERNAMA

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: