Siakap Keli
warga emas anak perempuan
Kredit: BERNAMA

Wanita Warga Emas Ditipu RM3.5 Juta Untuk Bebaskan Anak Perempuan Dari Penjara

Wanita Warga Emas Ditipu RM3.5 Juta Untuk Bebaskan Anak Perempuan Dari Penjara

JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) — Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian sebanyak RM3.5 juta selepas terpedaya dengan helah seorang lelaki yang mendakwa dapat membebaskan anak perempuannya yang ditahan di Penjara Kajang, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata ahli perniagaan yang berusia 67 tahun mengenali seorang lelaki tempatan pada Mac 2020 yang dikatakan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes bagi membebaskan anaknya yang berusia 38 tahun itu, dengan syarat membayar sejumlah wang kepadanya.

Beliau berkata anak kepada ahli perniagaan itu sebelum ini ditahan atas kesalahan di bawah Akta Pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (Atipsom) 2007 serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), sejak tahun 2019.

“Mangsa yang terpedaya telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM3.5 juta secara berperingkat kepada lelaki itu sejak Mac 2020 hingga bulan ini, namun percaya telah ditipu kerana anaknya masih tidak dibebaskan meskipun bayaran telah dibuat, dengan memberi pelbagai alasan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menahan lelaki berusia 35 tahun itu pada 16 Jun lepas, pukul 12.35 pagi di sekitar bandar raya ini, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda, jika disabit kesalahan.

“Kita ingin menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali.

“Bagaimanapun, jika telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi ‘National Scam Response Centre’ (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat aliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Warga Asing Jadikan Premis Perniagaan Tempat Pelihara Ayam & Itik 

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana