Siakap Keli
Kredit: @khairulaming/Twitter

“Memang ‘Kick’ Dan Pekat,” Ini Resipi Sup Tulang Khairulaming Sempena Aidiladha

“Memang ‘Kick’ Dan Pekat,” Ini Resipi Sup Tulang Khairulaming Sempena Aidiladha

Apabila tiba hari perayaan, perkara yang paling menyeronokkan semestinya melihat juadah dan hidangan yang jarang disediakan pada harian. Hidangan tersebut boleh dikatakan istimewa kerana ia menambah rasa kegirangan apabila menikmati juadah itu.

Esok, umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha dan hari ini sesetengah masyarakat Islam melaksanakan ibadah puasa susulan Hari Arafah yang jatuh pada Rabu, 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijah 1444 Hijrah.

Seperti biasa, apabila bercakap mengenai juadah pastinya selebriti internet Khairulaming (KA) tidak akan melepaskan peluang berkongsi resipi bagi meraikan perayaan tersebut.

KA yang terkenal dengan slogan ‘Hey, whatsup guys’ berkongsi kepada umum resipi sup tulang sempena dengan Raya Haji esok.

Mari ikuti resipi Sup Tulang KA yang disediakan di bawah ini.

Resipi Sup Tulang KA

Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sup tulang itu ialah:

A: Bahan-bahan hirisan

  • Satu biji bawang merah
  • Dua hingga tiga biji bawang merah (untuk bawang goreng)
  • Empat ulas bawang putih
  • Halia sebesar ibu jari
  • Daun sup
  • Cili padi

B: Bahan-bahan bukan hirisan

  • Tulang rusuk 
  • Dua paket rempah sup tulang
  • Serbuk perasa

Cara-cara penyediaan

Kredit: @khairulaming/Twitter

Yang pertama, tumis satu biji bawang merah, empat ulas bawang putih dan dua paket rempah sup tulang.

Masukkan dua kilogram tulang rusuk dan tambahkan air. Kemudian masukkan halia sebesar ibu jari, dua sup bunjut (dalam paket tadi) dan garam.

Kredit: @khairulaming/Twitter

Selepas itu, rebus sup tersebut selama satu jam setengah hingga ke dua jam untuk pastikan tulang rusuk itu empuk.

Kredit: @khairulaming/Twitter

Apabila sup itu menjadi kering, tambahkan sedikit air dan laraskan bahan perasa seperti garam, gula dan serbuk perasa mengikut kemahuan sendiri.

BACA: Kisah Luar Biasa Ibrahim Richmond, Bekas Paderi Yang Mengajak Ribuan Pengikut Kristian Masuk Islam

Bawang goreng

Kredit: @khairulaming/Twitter

Kemudian, untuk membuat bawang goreng, bahan  yang diperlukan adalah dua hingga tiga biji bawang merah yang dihiris.

Goreng bawang tersebut sehingga ia garing dan selepas itu tapiskan.

Seterusnya, ambil bawang goreng itu dan taburkan ke dalam sup tulang yang dimasak tadi diikuti dengan daun sup dan cili padi.

Yang terakhir sekali, perahkan limau nipis supaya sup tersebut mempunyai rasa masam.

Kredit: @khairulaming/Twitter

Gaulkan ke semuanya supaya sup tersebut dapat memberi rasa pedas dan berempah. Ia juga sedap dinikmati dengan nasi putih.

Nota tambahan: Sekiranya mahu sup tersebut masak dengan lebih cepat, mereka yang mempunyai pressure cooker boleh menggunakan perkakasan elektrik tersebut.

Saksikan video penuh di bawah ini. Selamat mencuba!

Sumber: @khairulaming/Twitter

Nurhanis

noktah