Siakap Keli
kemenangan pekebun musang king
Kredit: Sinar Harian

Batal Prosiding Semakan: Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King

Dua kumpulan pekebun durian Musang King di Raub menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan untuk menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RDPR-PKPP) bagi membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa mereka adalah satu kemenangan bermakna.

Lapor Sinar Harian, responden keenam iaitu RPDR-PKPP diperintahkan mahkamah untuk membayar kos mahkamah kepada kedua-dua kumpulan pekebun RM10,000 setiap kumpulan, menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000.

Keputusan itu secara tidak langsung membuatkan kumpulan tersebut lebih yakin untuk berhadapan dengan masalah yang lebih mencabar pada masa akan datang, kata Penasihat Save Musang King Alliance (Samka), Chow Yu Hui.

“Kes ini dibicarakan melalui prosiding dalam talian, dan berikutan pemecatan itu, perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Januari 2021, kekal berkuat kuasa.

“Dalam erti kata lain, sebelum kes selesai, agensi penguatkuasaan undang-undang dilarang mengambil tindakan terhadap pihak yang berperkara, membenarkan pekebun meneruskan aktiviti penanaman di kebun durian,” katanya.

Sejurus itu jelas Chow, ia bermakna pertempuran undang-undang yang dimulakan pekebun berkenaan sejak tiga tahun lalu akan berterusan dalam mencari keadilan hak.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa, seperti yang dilapor Sinar Harian.

Jelasnya, permohonan yang dibuat oleh responden keenam itu dikatakan bersifat enteng malah alasan yang disertakan juga tidak kukuh untuk menyokong permohonan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Raub memaklumkan, syarikat tersebut membuat dakwaan bahawa pekebun menjalankan saman undang-undang tanpa kebenaran.

Disebabkan perkara itu, syarikat tersebut berasa was-was terhadap integriti dan profesionalisme pekebun durian.

“Lebih-lebih lagi, mereka mempersoalkan identiti pekebun terlibat yang gigih mengabdikan hidup mereka untuk mengusahakan tanaman durian.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Hakim Zainal Azman Abdul Aziz dari Mahkamah Tinggi Kuantan telah membuat keputusan yang adil dan bijaksana.

“Keputusan ini telah memberikan rasa lega kepada pekebun durian dan meredakan sementara kebimbangan mereka yang mendalam,” katanya.

BACA: Pening Macam Mana Nak Buat? Ini 7 Tips Mudah Hilangkan Bau Durian Dalam Kereta

Taktik pengalihan

Sementara itu, Yu Hui turut memaklumkan bahawa permohonan yang dibuat syarikat itu kepada mahkamah adalah strategi yang digunakan mereka untuk menjejaskan keyakinan pekebun selain memaksa mereka untuk menandatangani kontrak yang berat sebelah.

“Syarikat tersebut tidak pernah menghargai kerja keras para pekebun durian. Mereka pada mulanya mendakwa mengutamakan kesejahteraan pekebun tetapi akhirnya membentangkan kontrak tidak adil dengan syarat eksploitasi.

“Kini, apabila pekebun meminta bantuan undang-undang, syarikat itu cuba menafikan hak mereka untuk mendapatkan keadilan.

“Mereka hanya mementingkan kepentingan musang king dan terus menganiaya pekebun,” tegas beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa pekebun durian yang terlibat telah berniaga durian selama beberapa dekad lamanya dan mereka mempunyai kuasa susulan diberikan oleh peguam secara bertulis.

“Jika syarikat itu terus meragui identiti pihak terbabit, saya boleh mengaturkan sesi dialog antara semua pihak yang bertikai dan syarikat tersebut membolehkan pihak mereka mengesahkan identiti pekebun dan menangani sebarang soalan yang ada,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua pekebun untuk berjuang sehabis baik kerana kemenangan akan berpihak kepada mereka.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana