Siakap Keli
FAM denda JDT
Gambar: Bernama

Penyokong Bakar & Nyalakan Suar, FAM Denda JDT RM120,000

Penyokong Bakar & Nyalakan Suar, FAM Denda JDT RM120,000

KUALA LUMPUR —  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan rasmi hari ini memaklumkan bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dikenakan hukuman denda berjumlah RM120,000.

FAM mengambil keputusan itu berikutan tindakan penyokongnya menyalakan suar pada tiga perlawanan Liga Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Tambah badan bola sepak itu, meskipun perkara itu tidak diberitahu umum sebelum ini, surat hukuman denda bagi kesalahan tersebut telah dihantar ke JDT pada 31 Mei 2023 lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Haji Rahman berkata, hukuman itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM. Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei 2023.

BACA JUGA: Kerja Keras Arif Aiman Rebut Kesebelasan Utama Harimau Malaya Mula Buah Hasil

Gambar: Bernama

“Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lawan Sabah FC pada 31 Mac 2023. JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit.

“Kelab itu juga didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Seterusnya, bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lawan Kedah Darul Aman FC pada 9 April 2023. JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit.

“Dan JDT didenda RM10,000 kerana telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Sementara bagi perlawanan Piala FA 2023, JDT lawan PDRM FC pada 14 April 2023. JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000. Ia kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong,” maklum FAM dalam kenyataan tersebut.

Gambar: Bernama

Sehubungan itu, FAM berharap makluman ini dapat memberi penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil oleh FAM.

Jelas FAM, kesalahan membakar dan menyalakan suar sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib badan berkenaan.

“Adalah sekarang menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat,” kata FAM lagi.

Sumber: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?