Siakap Keli
bayi lelaki terjatuh pelampung
Kredit Sinar Harian

Bayi Lelaki Lemas, Terjatuh Dari Pelampung Dinaiki Bersama Bapa

Bayi Lelaki Lemas, Terjatuh Dari Pelampung Dinaiki Bersama Bapa

Baling- Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan dilaporkan lemas selepas dipercayai terjatuh dari pelampung kayak yang dinaiki bersama bapa mangsa, lapor Sinar Harian.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.51 pagi tadi di Lubuk Pedati, Baling, Kedah.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama bapanya dan seorang lagi kanak-kanak sedang menaiki pelampung kayak ketika beriadah di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, pelampung berkenaan dikatakan terlanggar perdu buluh menyebabkan mangsa terjatuh,” kata saksi tersebut. 

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun yang menaiki pelampung yang sama berjaya diselamatkan. Manakala mangsa pula telah dihanyutkan oleh air sungai.

Panggilan berhubung kejadian diterima kira-kira jam 12.04 tengah hari

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, panggilan berhubung kejadian telah diterima oleh pihaknya. Laporan berhubung kejadian tersebut telah dibuat pada jam 12.04 tengah hari tadi.

Menurut Mohd Jamil, ekoran laporan itu, sepasukan anggota dari BBP Baling dikerahkan ke lokasi kejadian. Operasi menyelamat tersebut diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Jusoh Abdul Wahab.

Kredit Sinar Harian

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Jamil, mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira 3.3 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan maut selepas basikal yang ditungganginya dipercayai terlanggar tayar belakang sebuah lori sampah.

Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata dalam kejadian pada kira-kira 11.30 pagi itu. Mangsa Aminah Mohd Hafis yang berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati, lori sampah jenis Mitsubishi yang dipandu lelaki berusia 55 tahun sedang memasuki selekoh untuk mengutip sampah di kawasan berkenaan. Mangsa yang dari rumahnya secara tiba-tiba meluru sehingga terlanggar bahagian kanan tayar lori terbabit.

“Pemandu lori itu kemudiannya turun dan mendapati penunggang basikal tersebut berada di bawah tayar belakangnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka