Siakap Keli
tragedi kepala air mangsa terakhir
Kredit: Bernama

Tragedi Kepala Air: Pencarian Mangsa Terakhir Fokus Di Sektor A

Tragedi Kepala Air: Pencarian Mangsa Terakhir Fokus Di Sektor A

CHUKAI, 8 Julai (Bernama) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Putri Nor Fatin Karim, 14, diteruskan hari ini dengan penumpuan di sektor A kawasan pencarian.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata pencarian di sektor B dan C turut akan dilakukan, namun dengan skala yang lebih kecil.

“Kaedah pencarian tertumpu di lokasi-lokasi yang kita sudah kenal pasti semalam, di tempat mangsa-mangsa sebelum ini dijumpai dan kita akan lebihkan pencarian di kawasan berhampiran.

“Susulan pemantauan semalam, kami dapati banyak beting baru yang wujud di jeram dan kawasan tersebut akan digali serta pencarian dibantu empat anjing pengesan K9,” katanya yang ditemui di sini hari ini.

Azman berkata operasi melibatkan 250 anggota pada hari ini juga akan melakukan pencarian semula secara terperinci di kawasan yang dicakupi sebelum ini.

“Pencarian termasuk di kawasan timbunan kayu yang baru wujud ekoran perubahan cuaca dan hujan dari semasa ke semasa,” katanya.

Jenazah sembilan mangsa yang ditemukan susulan tragedi kepala air di jeram berkenaan pada Sabtu lepas telah selamat dikebumikan iaitu lapan di Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada Selasa dan Rabu, manakala seorang lagi dikebumikan pada 7 pagi tadi di Batu Pahat, Johor.

BACA: Tinggalkan Dunia K-Pop, C.A.P Teen Top Bahagia Jadi Tukang Potong Rumput

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma