Siakap Keli
Polis Tahan Lelaki Pegang Parang
Gambar: Bernama

Polis Tahan Lelaki Pegang Parang Ketika Pertengkaran

Polis Tahan Lelaki Pegang Parang Ketika Pertengkaran

ALOR SETAR, 9 Julai (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki dipercayai memegang sebilah parang dalam satu pertengkaran dengan individu lain di sebuah stesen minyak kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun, arah Selatan, pada 1 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu lori itu ditahan pada 8.30 malam tadi di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda.

“Pada 10 pagi semalam, seorang pegawai polis telah melihat satu video pertengkaran di antara dua lelaki berlaku di stesen minyak berkenaan di laman sosial, dengan seorang daripada lelaki itu telah mengeluarkan parang.

“Pegawai berkenaan mengarahkan anggota dari Balai Polis Gurun untuk ke lokasi kejadian dan telah menemu bual pengurus cawangan stesen minyak itu. Pengurus cawangan itu mengesahkan bahawa kejadian berlaku pada 1 Julai kira-kira 7.40 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA JUGA: Mengaku Bersalah, Lelaki Mengamuk Tak Dipanggil “Baby” Didenda RM300

Beliau berkata siasatan mendapati kira-kira 6.15 petang pada hari kejadian, pemandu lori itu yang memandu keluar dari hentian Bukit Kobah, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pendang telah berselisih faham dengan seorang lelaki yang memandu kenderaan jenis Ford Ranger.

“Pemandu Ford Ranger berkenaan dikatakan telah membunyikan hon kepada suspek dan perselisihan faham itu berlanjutan sehingga sampai di tempat kejadian. Suspek berkata dia mengeluarkan sebilah parang dari lorinya selepas diugut oleh pemandu Ford Ranger.

“Suspek yang membuat laporan polis semalam telah ditahan reman selama tiga hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan. Polis juga sedang mengesan pemandu Ford Ranger serta pemilik akaun TikTok yang menularkan video berkenaan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial klip video menunjukkan seorang lelaki sedang bertengkar sambil memegang sebilah parang di sebuah stesen minyak di R&R Gurun.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?