Padat 20 Keping Keju, Burger King Thailand Perkenal Burger “Cheese” Tanpa Daging
Menu baharu Burger King menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk di Thailand, selepas ia memperkenalkan burger tanpa daging yang diganti 20 kepingan keju , lapor CNN.
Difahamkan, menu yang dipanggil burger keju sebenar itu adalah roti yang diisi dengan kepingan keju khas dari Amerika Syarikat (US).
Ia dilancarkan di Thailand pada Ahad lalu, dengan harga yang dikurangkan kepada RM14 berbanding harga biasa iaitu RM41.
Selepas ia diperkenalkan, burger keju sebenar itu menjadi tular di media sosial Thailand dengan ramai pengguna di TikTok menyiarkan video mereka mencuba menu baharu tersebut.
“Ini bukan jenaka, ini adalah benar,” kata Burger King dalam catatan media sosial pada Ahad.
Di sebuah cawangan Burger King di Bangkok pada Selasa, seorang pengurus syif berkata kedai itu terpaksa memberhentikan pesanan penghantaran supaya mereka mempunyai stok yang mencukupi untuk pelanggan yang datang.
BACA: Kenapa Kebanyakan Bangunan Besar Guna Pintu Berpusing? Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu
Reaksi pelanggan
Seorang pelanggan yang memesan burger itu memberitahu CNN dia mencubanya buat kali pertama selepas melihatnya di media sosial.
Individu itu yang merupakan seorang jurutera IT, Im Jeepetch, 25, berkata dia suka keju namun burger itu agak keterlaluan.
“Saya hanya boleh menghabiskan separuh daripadanya.
“Ini adalah jumlah keju yang tidak masuk akal yang diletakkan dalam satu burger. Makanan akan menjadi sedap apabila ia mempunyai kombinasi yang betul,” katanya.
Pelanggan lain juga mengatakan burger keju itu terlalu muak.
“Saya mungkin tidak akan mencubanya lagi, saya suka beberapa keping keju dalam burger saya tetapi tidak sebanyak ini,” kata seorang pelanggan lagi.
Penambahan menu adalah contoh bagaimana francais makanan segera di seluruh dunia berusaha untuk mendapatkan perhatian pelanggan dengan melancarkan pilihan menu menarik.
Di US, Burger King telah menggandakan kuantiti Whopper, burger daging lembu khas yang dipanggang api pada lewat tahun lepas.
Restoran itu juga sentiasa menyesuaikan tawaran mereka untuk memenuhi cita rasa tempatan di negara berbeza.
Di Thailand, keju sangat popular dalam kalangan muda dan adalah menjadi perkara biasa bagi produk tenusu untuk digandingkan dalam semua jenis hidangan.
Sumber: CNN