GR Yaris Kansai Bukan Pekin Ibrahim Punya – Pemilik Sebenar
Kereta Toyota GR Yaris Kansai yang terlibat dalam kemalangan ‘total lost’ baru-baru ini bukan milik Pekin Ibrahim sebaliknya milik pemilik syarikat D One Motorsport Sdn. Bhd., Asnina Muhammad.
Memetik Astro Awani, Asnina mendedahkan bahawa Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim hanya bertindak selaku duta yang mempromosi syarikatnya sahaja.
“Saya adalah pengarah syarikat D One Motorsports dan merupakan pemilik kenderaan itu.
“Tiada sebarang pembayaran wang tempahan dan juga tiada sebarang pembayaran deposit daripada Pekin.
“Tiada sebarang dokumen yang diberikan olehnya untuk urusan pinjaman bank bagi pembelian kereta,” kata Asnina.
Kenyataan itu dibuat Asnina menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan di Instagram syarikat tersebut.
Selain itu, menerusi hantaran yang sama, Asnina turut menyertakan geran kenderaan tersebut sebagai bukti bahawa kereta terbabit adalah hak miliknya.
Tambahnya, Pekin hanya menunjukkan minat untuk membeli kenderaan itu sahaja.
“Segala kos daripada proses pembelian kenderaan, servis di Kansai Service dan pembiayaan duta ke Jepun ditanggung oleh pihak kami,” katanya lagi.
Kereta alami kerosakan teruk atau ‘total lost’
Terdahulu, kereta GR Yaris edisi Kansai itu dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Putra Height. Kereta tersebut dilaporkan bukan dipandu oleh rakan-rakan Pekin Ibrahim seramai tiga orang.
Salah seorang daripada penumpang dikatakan telah patah bahu manakala dua lagi sedang mendapatkan rawatan.
Kereta Yaris berwarna hitam edisi Kansai itu dikatakan mengalami ‘total lost’.
Dalam pada itu, Pekin juga sempat mengucapkan terima kasih kepada semua yang cuba menghubunginya dan mendoakan keselamatannya.
BACA: Ramai Tak Tahu, Sazali Samad Perjelas Perbezaan Antara Gelaran Mr. Universe & Mr. Olympia
“Aku nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada semua yang call, WhatsApp aku, yang DM aku bertanya khabar dan mendoakan benda yang baik-baik.
“Bukan hanya untuk aku, kita berharap doa yang baik-baik kepada sahabat-sahabat aku yang bawa kereta dan ada dalam kereta tu,” kata Pekin menerusi perkongsian video di saluran YouTube miliknya.
Beritahu Pekin lagi, kejadian itu berlaku sekelip mata dan tidak pasti apa yang telah menyebabkan kemalangan tersebut.
Sumber: Astro Awani