Bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, B Sathianathan dilapor telah meninggal dunia pada hari ini.
Berita sedih itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj Aralanthu melalui akaun Twitter miliknya.
“Semoga dengan tenang Anna. Anda telah berjuang dengan baik,” tulisnya.
Difahamkan, mendiang yang berusia 65 tahun itu meninggal dunia akibat daripada penyakit kanser yang dihadapinya pada setahun yang lalu, memetik Awani.
Tahun lalu, media melaporkan Sathianathan terpaksa berehat seketika daripada bola sepak untuk memulihkan masalah kesihatan yang serius.
Beliau dilaporkan mengalami masalah di bahagian jantung dan dilaporkan tidak sihat.
Disebabkan itu, Sathianathan tidak dilihat memimpin mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia namun muncul dalam siaran langsung perlawanan Liga Super di Astro.
Walau bagaimanapun, beliau dilihat semakin susut oleh kerana penyakitnya.
Enam bulan selepas itu, doktor yang merawat Sathianathan mengesahkan keadaan kesihatannya bertambah pulih, berdasarkan laporan imbasan kesihatannya.
Sathianathan mengatakan kepada media bahawa dia telah bersedia untuk kembali menjadi jurulatih.
Profil Sathianathan
Pada tahun 2007 sehingga 2009, mendiang telah menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.
Beliau juga pernah mengendalikan skuad B-23 negara dari 2006 hingga 2008 dan pasukan tersebut berjaya membawa gelaran juara Pesta Bola Merdekan pada 2007.
Skuad B-23 juga merangkul naib juara pada tahun 2008.
Perjuangannya tidak hanya terhenti di situ, mendiang turut menjadikan Kelantan sebagai juara pada Piala Malaysia yang berlangsung pada tahun 2010.
Beliau juga membimbing ATM dan Felda United menjuarai Liga Perdana, pada tahun 2012 dan 2018.
Legenda olahraga negara, Hanapiah Nasir meninggal dunia
Terdahulu, media melaporkan pemergian legenda olahraga negara, Hanapiah Nasir, akibat leukemia dan kegagalan pelbagai organ di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Perkhabaran pemergian Hanapiah, 65, itu disahkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang memaklumkan arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang.
Noorul, yang kali terakhir melawat Allahyarham tahun lepas untuk memberikan sumbangan, amat sedih atas pemergian Hanapiah dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada sukan tanah air.
Allahyarham sebelum ini banyak menyumbang kepada arena olahraga negara apabila berjaya merangkul empat emas pada temasya Sukan SEA, menerusi acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan dekathlon (1981 dan 1983).
Bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan meninggal dunia hari ini. pic.twitter.com/Gr505kTIyv
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) July 18, 2023
Sumber: BERNAMA, Awani