Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rebah 500 Meter Sebelum Garisan Penamat, Pempengaruh Sukan Larian Meninggal Dunia

Pempengaruh Sukan Larian Meninggal

Seorang pelajar pascasiswazah Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) yang juga merupakan pempengaruh sukan larian dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai acara separuh maraton Seoul Race 2026 pada Ahad lalu.

Mangsa, Yoo Ji Won, dilaporkan rebah kira-kira 500 meter dari garisan penamat.

Menurut Jawatankuasa Penganjur Seoul Race, kejadian berlaku sekitar jam 8.49 pagi pada 11 Oktober lalu ketika mangsa berada di kilometer 20.6 dalam acara separuh maraton berkenaan, lapor Koreaboo.

Pempengaruh sukan larian meninggal dunia

Pasukan perubatan di lokasi segera memberikan bantuan kecemasan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa.

Bagaimanapun, mangsa tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

Dalam satu kenyataan pada 12 Oktober, pihak penganjur turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang tidak dijangka itu.

“Kami mendoakan agar mendiang bersemadi dengan tenang dan menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga yang sedang berdepan dengan kehilangan mengejut ini,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, Yoo yang dilahirkan pada tahun 2001 merupakan pelajar pascasiswazah di KAIST dan sedang menjalankan penyelidikan dalam bidang semikonduktor kecerdasan buatan (AI).

Selain bergelar pelajar, mendiang juga aktif sebagai pelari amatur dan pempengaruh sukan larian.

Malah, Yoo sebelum ini berjaya menamatkan acara maraton penuh Seoul Marathon 2026 pada 15 Mac lalu dengan catatan masa 2 jam 56 minit 32 saat.

Pencapaian tersebut membolehkan mendiang meraih status sub-3, iaitu istilah bagi pelari yang berjaya menamatkan maraton penuh dalam tempoh kurang tiga jam.

Susulan berita pemergiannya, peminat dan pengikut Yoo turut membanjiri ruangan komen di akaun media sosial mendiang dengan ucapan takziah serta penghormatan terakhir.

Sumber:Koreaboo
Intipati
  • Yoo Ji Won rebah kira-kira 500 meter sebelum menamatkan separuh maraton Seoul Race 2026.
  • Pasukan perubatan memberikan CPR di lokasi sebelum mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
  • Yoo merupakan pelajar pascasiswazah KAIST, pelari amatur dan pempengaruh sukan larian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan