Dokumen PM Tidak Buktikan Pelupusan Hutang Felda Dibuat Pada Jun – Marzuki
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa bahawa dokumen yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuktikan perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA dibuat pada Jun lepas.
Jelasnya, dokumen berkenaan bukanlah dokumen perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA yang berjumlah RM8.3 bilion.
Sebaliknya, dokumen tersebut mengenai perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.
Beliau membuat dakwaan demikian menerusi satu hantaran Facebook hari ini, selepas Perdana Menteri mendedahkan dokumen berkenaan.
“Baru sekejap tadi Perdana Menteri menyiarkan sebahagian dokumen yang dikatakan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA.
”Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat,” katanya.
Sebelum ini, PM menerusi media sosial rasminya mendedahkan Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) yang ditandatanganinya. Dokumen berkenaan dikatakan berkaitan jaminan kerajaan kepada Felda bagi melupuskan hutang berjumlah RM 8.3 bilion.
”Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada bulan Jun 2023.
”Ia adalah berkenaan penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan kabinet pada tahun 2020,” katanya lagi.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa Kabinet pada 14 Oktober 2o20 ketika TSMY menjadi Perdana Menteri telah meluluskan Pelan Pemulihan Felda. Pelan berkenaan turut mengandungi pelupusan 80% hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion serta penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat.
“Sesiapapun yang menjadi Menteri Kewangan mesti menandatangani dokumen ini. Seingat saya Tan Sri Muhyiddin tak pernah jadi Menteri Kewangan.
“Penyiaran dokumen ini mengesahkan telahan saya sebelum ini bahawa dokumen yang ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA tetapi perjanjian berkaitan sukuk berjaminan kerajaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Marzuki mencadangkan agar pihak kerajaan “declassify” minit mesyuarat kabinet tersebut untuk tatapan rakyat. Ia bagi mengelakkan keraguan mengenai keputusan kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka FELDA.
BACA: Pernah Terfikir Macam Mana Air Laut Jadi Masin, Mana Datangnya Garam? Ini Jawapannya
Sumber: Marzuki Mohamad via Facebook