Siakap Keli
internet starlink malaysia
Gambar: Starlink

Internet Starlink Kini Ditawarkan Di Malaysia, Pakej 100mbps Berharga RM 220 Sebulan

Internet Starlink Kini Ditawarkan Di Malaysia, Pakej 100mbps Berharga RM 220 Sebulan

Starlink kini secara rasmi sudah boleh dilanggan di Malaysia, bermula hari ini dan orang ramai boleh mula memesan piring satelit bagi mendapatkan perkhidmatan internet berkenaan.

Berita berkenaan dimaklumkan sendiri oleh SpaceX, syarikat industri berkaitan angkasa milik Elon Musk yang menawarkan perkhidmatan Starlink.

Menurut satu hantaran di platform X, Malaysia menjadi negara ke-60 di dunia yang menawarkan perkhidmatan internet satelit Starlink.

Orang ramai yang berhajat untuk mendapatkan perkhidmatan intenet satelit Starlink boleh membuat tempahan menerusi laman web Starlink sendiri.

Berdasarkan semakan di laman web berkenaan, Starlink menawarkan pakej intenet satelit berkelajuan 100mbps dengan langganan bulanan RM 220 sebulan.

Bagaimanapun, pengguna perlu membeli set piring satelit Starlink secara berasingan yang berharga RM 2,300 (standard) atau RM 11,613 (high-perfomance).

Starlink juga memaklumkan bahawa pelanggan tidak terikat dengan sebarang kontrak langganan. Pengguna juga boleh menikmati perkhidmatan percuma Starlink selama 30 hari dan boleh melakukan pemulangan semula selepas itu jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan.

Jika langganan dibuat sekarang, pengguna perlu menunggu sekurang-kurangnya 1 hingga 2 minggu sebelum menerika set piring satelit Starlink yang dipesan.

Mengenai Starlink

Starlink adalah sistem satelit konstelasi pertama dan terbesar di dunia yang menggunakan orbit rendah Bumi untuk menyampaikan internet jalur lebar kepada pengguna. Internet yang ditawarkan mampu menyokong pelbagai aktiviti seperti pengstriman video, bermain permainan atas talian, membuat panggilan dan banyak lagi.

Kebanyakan perkhidmatan internet ditawarkan melalui satelit-satelit geostationary tunggal yang mengorbit Bumi pada ketinggian kira-kira 35,786 km.

Kesannya, kadar masa pusingan data antara pengguna dengan satelit, yang juga disebut sebagai latency, menjadi tinggi. Ia menyebabkan aktiviti-aktiviti melibatkan penggunaan data yang tinggi seperti pengstriman, bermain permainan video, panggilan video dan sebagainya mudah terganggu.

Manakala Starlink pula menawarkan perkhidmatan internet melalui rangkaian ribuan satelit yang mengorbit Bumi pada ketinggian kira-kira 550 km. Rangkaian ribuan satelit ini juga meliputi seluruh Bumi.

Disebabkan satelit-satelit Starlink beredar dalam orbit rendah Bumi, maka latency internet juga rendah, iaitu pada kira-kira 25 ms berbanding satelit biasa, 600+ ms.

BACA: Tiada Lagi ‘Burung Biru’, Logo Twitter Kini Bertukar Jadi X

Sumber: Starlink

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.