Hafidz Roshdi Sah Ceraikan Isteri Dengan Talak Satu
Mahkamah Rendah Syariah pada hari ini dilaporkan telah mengesahkan status perceraian pelakon Hafidz Roshdi dengan isterinya, Shuhada talak satu pada Februari lalu, lapor Sinar Harian.
Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin memutuskan keputusan itu selepas prosiding pengesahan lafaz cerai luar mahkamah daripada pelakon itu dibuat terhadap Shuhada.
Ketika membaca keputusan berkenaan, mahkamah mendapati lafaz cerai yang dibuat secara lisan itu adalah sah mengikut hukum syarak.
Keputusan itu dibuat setelah mendengar permohonan Hafidz selaku plaintif serta keterangan semua pihak.
Hafidz dikatakan telah melafazkan cerai pada 22 Februari lalu sekitar jam 11.40 malam.
“Mulai tarikh dan waktu itu, jatuhkan talak satu kali pertama ke atas Shuhada selaku defendan.
“Sebelum ini, defendan mengandung maka edahnya adalah sehingga bersalin atau keguguran. Seterusnya mahkamah memerintahkan perceraian ini didaftarkan di Pejabat Agama Islam Petaling dan surat nikah dibatalkan,” katanya.
Bagaimanapun Siti Rahmah berkata, lafaz yang didakwa dilakukan oleh Hafidz pada 22 Januari lalu, jam 12.59 tengah hari adalah tidak sah. Ini kerana lafaz talak tersebut tidak memenuhi hukum syarak.
Dalam prosiding pada hari ini, Hafidz diwakili oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader. Sementara itu, Shuhada pula diwakili oleh peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf.
Perceraian telah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam
Pada 27 Februari lalu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, dan Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri,29, telah memfailkan perceraian.
Perceraian itu telah difailkan oleh pasangan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam.
Perkara itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Pada 22 Februari, Hafidz telah bertindak melafazkan cerai menerusi satu panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.
BACA: Malaysia Di Tempat Ke-3 Dalam “List” Negara Berkemungkinan Besar Meninggal Di Jalan Raya
Kemelut rumah tangga salah seorang finalis Hero Remaja itu mula mendapat perhatian selepas isterinya mendakwa pelakon itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Pelakon drama ‘Tundukkan Playboy Itu’ telah mendirikan rumah tangga bersama Shuhada pada 30 April 2016 yang lalu. Hasil perkongsian hidup selama lebih kurang tujuh tahun itu, mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar,3.
Sumber: Sinar Harian