Pelakon Era 90-an, Zack Idris Meninggal Dunia
Zack Idris, pelakon era 90-an dilaporkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam pada petang tadi, lapor Sinar Harian.
Zack atau nama sebenarnya Mohd Idris, 53, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya selepas dikejarkan ke hospital akibat muntah dan pitam.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh bekas isterinya, Aliza Rafar.
“Tadi, saya pulang ke rumah dari hospital dan sampai sahaja di rumah, lebih kurang waktu Asar, saya dimaklumkan bahawa arwah sudah tiada,” ujarnya.
Tambah bekas isterinya, Zack mengadu bahawa dia pening kepala dan berasa mahu pitam sebelum dibawa ke hospital oleh anaknya.
Allahyarham kemudiannya dimasukkan ke zon merah kecemasan hospital tersebut lalu diberi bantuan oksigen sebelum ditidurkan.
Sepanjang kerjayanya dalam dunia seni, Allahyarham pernah terlibat dalam beberapa buah filem seperti Johnny Bikin Filem pada tahun 1995 dan Penyair Malam (1998).
Beberapa filem yang lain termasuk Syukur 21 (2000), Black Maria (2003) dan Cendol: Kepada Allah Aku Berserah (2016).
BACA: Lelaki Ditemui Maut, Kepala Terputus Dipercayai Jatuh Dari Tingkat 29
Selain itu, Allahyarham juga pernah terlibat dalam pementasan teater yang bertajuk Sultan Alauddin Riayat pada tahun 2008.
Perkahwinan Zack dan Aliza hanya bertahan selama 18 tahun sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk bercerai. Perkahwinan selama 18 tahun itu telah dikurniakan empat orang cahaya mata.
Sumber: Sinar Harian