Siakap Keli
Pempengaruh jutawan kripto
Kredit Newsflash

Kehilangan Jutawan Kripto Terjawab, Ditemui Mati & Mayat Dikerat

Kehilangan Jutawan Kripto Terjawab, Ditemui Mati & Mayat Dikerat

Kehilangan seorang pempengaruh media sosial yang juga jutawan kripto terjawab selepas mayatnya ditemukan dalam keadaan ngeri olah dua kanak-kanak di sungai Argentina, lapor Daily Mail.

Anggota badan Fernando Perez Algaba ditemui dalam beg pakaian merah yang dibuang di Ingeniero Budge, Buenos Aires, pada 23 Julai lalu.

Mangsa sebelum ini telah dilaporkan hilang sejak 19 Julai lepas. Algaba dilapor hilang selepas memuat naik beberapa hantaran aneh berkenaan ‘orang jahat’ yang membalas kebaikan dengan kebencian.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bahawa bahagian badan mangsa telah dipotong dengan teliti. Perbuatan itu menunjukkan jenayah itu dilakukan oleh individu profesional.

Proses mengeluarkan mayat mangsa dari dalam sungai telah dilakukan dengan menggunakan bantuan mesin. Pihak polis dilapor berjaya membawa keluar semua bahagian mayat mangsa.

Tatu empat huruf di tangan mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah Algaba. Pengesahan itu menjadi lebih kukuh selepas analisis cap jari dilakukan bagi mendapat identiti mayat tersebut.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian Algaba yang digelar ‘Lechuga’ dipercayai kerana ditembak dengan tiga das tembakan.

Pihak berkuasa masih lagi sedang menyiasat pembunuhan itu dan ketika laporan dibuat, tiada suspek yang dapat dikenal pasti oleh penyiasat.

Algaba mempunyai seramai 918,000 pengikut di Instagram, di mana dia menggunakan platform itu untuk mempamerkan kehidupan mewahnya.

Sehingga kini masih tidak jelas bila pembunuhan tersebut berlaku. Tetapi seorang wanita memberitahu pihak berkuasa bahawa dia sepatutnya bertemu dengan Algaba pada 19 Julai lalu.

BACA: Pemuda Maut Hidup Dipatuk Ular Tedung Ketika Buat Persembahan

Penemuan tersebut adalah untuk menyerahkan semula kunci pangsapuri yang disewa wanita itu kepada Algaba. Bagaimanapun, pertemuan tersebut tidak dapat dibuat selepas Algaba dikatakan tidak munculkan diri.

Sebelum ini, pempengaruh dan ahli perniagaan itu telah menyifatkan dirinya sebagai pelabur yang turut menjual dan menyewa kenderaan mewah.

Algaba telah tinggal di Miami, Amerika Syarikat sehingga awal tahun ini, lalu dia kemudiannya berhijrah ke Sepanyol dan sebelum kembali semula ke Argentina.

Sumber: Daily Mail

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka