Keluar Hantaran Tidak Senonoh, Akaun Facebook Ella Digodam
Akaun Facebook milik legenda rock Malaysia, Ella dipercayai telah digodam pihak yang tidak bertanggungjawab, baru-baru ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh pihak pengurusan Ella, Rock Queen menerusi satu hantaran di Instagram semalam.
“27 Julai 2023, jam 6:00 petang, kami mengambil maklum bahawa akaun Facebook rasmi Ella, @Ellaaminuddin telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” menurut hantaran tersebut.
Susulan itu, Ella dilapor telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
“Kami akan menyerahkan semua maklumat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM untuk tindakan selanjutnya,” kata hantaran itu lagi.
Terdahulu, akaun FB milik penyanyi tersebut yang dipercayai telah digodam dilihat memuat naik beberapa hantaran yang tiada kaitan dengan penyanyi tersebut dan termasuk video-video tidak senonoh.
Ekoran itu, beberapa pengguna media sosial yang merupakan pengikut penyanyi tersebut nyata terkejut apabila melihat hantaran-hantaran tersebut.
Padam Semua Gambar, Ella Ucap Selamat Tinggal?
Peminat Ratu Rock Malaysia pernah dikejutkan melalui hantaran penyanyi wanita tersebut pada laman Instagram pada Mac lepas.
Ketika itu, para peminat mendapati semua gambar yang pernah dimuat naik sebelum ini telah dipadam. Satu-satunya hantaran yang tinggal adalah hantaran mengejutkan yang dimuat naik Ella ketika itu.
Menerusi hantaran tersebut, Ella menitipkan satu ucapan yang begitu bermakna tetapi menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Hantaran tersebut pantas menuai perhatian netizen tanah air, khususnya dalam kalangan peminat yang mengikuti rapat perkembangan seni beliau.
Walaupun tidak dapat dipastikan apa yang hendak disampaikan oleh beliau, namun peminatnya berharap penyanyi itu tidak meninggalkan dunia nyanyian buat masa ini.
Rata-rata daripada mereka turut memberikan ucapan terima kasih kepada Ella kerana lagu dendangan sekian lama menemani kehidupan rakyat Malaysia.
Namun, tindakan tersebut sebenarnya adalah gimik sebelum Ratu Rock mengumumkan berita bahawa beliau akan mengadakan konsert pada bulan Jun.
Konsert tersebut dinamakan ‘Jilid Akhir Ella Puteri Kota’ telah diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Jun lepas.
BACA: Ramai Alpa, Rupanya Ini Maksud, Fungsi & Cara Nak Guna Trip A & Trip B Pada Meter Kereta
Sumber: ellaaminuddins via Instagram