Buntu Nak Bayar Komitmen, Pasangan Tak Sangka Cendol Jadi Penyelamat
Dalam kehidupan ini, setiap orang mempunyai pelbagai cabaran berbeza yang perlu dihadapi bagi terus menyara hidup termasuk berniaga.
Hasil titik peluh yang diusahakan dalam menjalankan aktiviti perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Kadangkala berniaga umpama air laut yang mempunyai pasang surut.
Pun begitu, ia setidaknya memberikan jaminan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup tanpa bergantung harap pada orang lain.
Baru-baru ini pihak SK berkesempatan menyelami kisah pasangan suami isteri yang berniaga demi mencari sesuap nasi.
Nur Fatihah Mohd Rafi, 24, dan suaminya, Muhammad Aliff Izam, 27, mula menjalankan perniagaan “Chubby Cendol” sekitar hujung Januari lalu.
Pada awalnya, mereka menjalankan perniagaan ini di Tasik Lake Front, Cyberjaya sebelum bertapak di Majlis Perbandaran Sepang (MPS).
Kata Fatihah atau mahu disapa sebagai Teha, sebelum terlibat dalam perniagaan Chubby Cendol ini, dia bekerja sebagai seorang guru tadika di Bangsar, Kuala Lumpur namun terpaksa berhenti pada hujung tahun lalu ekoran diri yang sarat mengandung ketika itu.
“Lepas bersalin, saya tidak bekerja, hanya mengambil order seperti menjual laksa dan kuih-muih disebabkan saya suka memasak,” ujarnya sewaktu ditemu bual oleh pihak SK.
Kelahiran Chubby Cendol
Segalanya bermula apabila, Aliff yang bekerja sebagai pemandu e-hailing terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Memikirkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan komitmen yang perlu dilunaskan, pasangan itu memilih untuk menjalankan perniagaan cendol memandangkan kosnya yang jauh lebih rendah.
BACA JUGA: Resipi 50 Tahun Guna Dua Bahan, Ini Proses Buat Cendol Guna Kayu Api
“Pada awal tahun, suami saya mula bawa grab namun terlibat dalam kemalangan sejurus selepas bersalin. Kereta rosak dan pada masa yang sama kami perlu bayar komitmen.
“Jadi takde modal lah, untuk laksa, modal dia besar dan saya sahaja yang boleh sediakan. Jadi suami saya tak boleh terlibat secara langsung dalam proses pembuatan laksa.
“Masa saya berpantang di kampung, mak saya berniaga cendol. Jadi, dia ajar saya macam mana nak buat cendol. Lepas pantang, kami mula buat cendol sebab lagi mudah dan barang keperluan sudah ada,” ujar Teha.
Mana Datangnya Nama “Chubby Cendol”
Tidak seperti cendol-cendol di gerai lain, Chubby cendol mempunyai keunikan tersendiri dengan mempamerkan signature cendol yang besar, lembut dan tidak berasa kapur.
Lebih-lebih ia merupakan resepi ibunya, Cik Ema yang juga berniaga di Batu Gajah, Perak.
Bahkan ia divariasikan dengan campuran Cendol dan Latte yang pastinya menarik peminat kopi di luar sana. Jelas wanita berusia 24 tahun itu lagi, mereka juga sangat menjaga kualiti cendol yang dijual kepada pelanggan, lebih-lebih lagi ia adalah “homemade”.
“Hari-hari kami akan buat (cendol). Ada hari habis, ada hari tidak seperti hari hujan. Memang tak habislah. Jadi kami terpaksa buang.
“Kalau terlalu banyak kami akan sedekahkan kepada orang ramai. Sebab kami nak menjaga kualiti cendol,” jelasnya.
Anak Pembakar Semangat
Ketika ditanya mengenai siapakah penguat semangat dalam perniagaan ini, mereka memberitahu anak mereka merupakan pembakar semangat dalam meneruskan kerjaya berkenaan.
Sepanjang berniaga, momen yang tidak boleh dilupakan oleh Teha adalah ketika mendapat sambutan yang “meletop”.
“Pertama, pada bulan puasa, kami ada buat gift away, tak sangka dapat sambutan ramai. Orang ramai sanggup beratur panjang walaupun kami belum buka kedai.
“Kedua, masa tu hujan lebat, cendol hanya tinggal sedikit lagi. Alang-alang dah basah, adik pegang banner dan jalan tepi jalan. Dah macam drive thru dah,” kata Fatihah.
BACA JUGA: Berhenti Kerja ‘Sedap’ Semata Nak Niaga Kek RM5
Meskipun hanya berniaga cendol, keluarga tersebut dapat menyara kehidupan mereka malah mampu membuat simpanan berkat perniagaan itu.
Jelas pasangan itu, mereka turut memberi nasihat kepada para peniaga di luar sana yang mahu berjinak-jinak agar tampil berani ke hadapan.
“Kepada peniaga yang nak mula bisnes di luar sana, jangan fikir-fikir dulu. Teruskan buat walaupun ada cabaran. Berniaga kadangkala ada pasang dan surut. Buat je sampai rasa diri boleh,” ujarnya.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Chubby Cendol, tonton temu ramah penuh di bawah.