Siakap Keli
muse bukit jalil

Muse Gamatkan Stadium Bukit Jalil, Puaskan Hati Ribuan Peminat

Konsert Muse: Will Of The People World Tour 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, berjaya puaskan hati ribuan peminat yang hadir daripada dalam dan luar negara.

Menurut Agus, salah seorang daripada penonton dari Indonesia yang ditemui ketika konsert, persembahan yang ditampilkan kumpulan itu ternyata berbaloi untuk disaksikan biar pun datang dari jauh.

“Saya sudah sampai di Malaysia sejak hari Khamis. Datang ke Stadium Bukit Jalil ini dan terus beratur untuk menonton di bahagian depan pula seawal pukul 12 tengah hari lagi.

“Walaupun penat beratur di bawah terik matahari, namun segala usaha yang telah saya curah sejak dua hari lepas sangat berbaloi kerana persembahan yang ditampil Muse pada malam ini langsung tidak mengecewakan saya dan akan saya ingat sampai bila-bila,” ujarnya penuh bersemangat.

Ketika tinjauan dilakukan di kawasan konsert, pihak penganjur iaitu Hello Universe turut tidak ketinggalan daripada dipuji oleh peminat-peminat Muse.

Rata-ratanya meluahkan rasa berpuas hati dengan konsert yang dianjurkan pada kali ini kerana pelbagai gerai makanan yang disediakan oleh pihak penganjur bagi memudahkan orang ramai mengisi perut sebelum menikmati konsert.

Selain daripada itu juga, semua gerai makanan tersebut turut menyediakan pelbagai pilihan pembayaran atas talian bagi memudahkan peminat untuk membeli makanan.

Tak lupa juga media sosial pihak penganjur yang aktif mengemas kini pelbagai informasi untuk memudahkan para peminat yang hadir.

Persembahan memukau yang ditampilkan kumpulan Muse juga turut menjadi perbualan hangat ribuan para peminat yang hadir usai keluar daripada stadium.

Lebih menarik lagi apabila vokalis Muse, Matt Bellamy sempat melantunkan beberapa frasa dalam bahasa Melayu seperti terima kasih dan selamat petang bagi merancakkan dan menarik perhatian ribuan peminat yang hadir.

Muse telah memilih Malaysia sebagai satu-satunya destinasi dalam Asia untuk mengadakan konsert jelajahnya.

Ini merupakan kali kedua kumpulan daripada England itu mengadakan konsert di Malaysia selepas persembahan pertama yang diadakan di Stadium Negara pada tahun 2007 yang lalu.

Aqmal Ezany

I write what is right