Siakap Keli
prn jantina faktor pilih pemimpin
Gambar: Bernama

PRN: Jantina Bukan Faktor Penentu Untuk Rakyat Pilih Pemimpin

PRN: Jantina Bukan Faktor Penentu Untuk Rakyat Pilih Pemimpin

SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) — Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah medan untuk masyarakat bebas memilih calon tanpa mengira jantina selagi seseorang individu mempunyai pakej lengkap dan berketerampilan menjadi pemimpin kawasan mereka.

Peniaga, Zulkifli Hidayat Yusril, 39, berpendapat jantina bukan penentu mutlak untuk memberikan undi kepada calon yang bertanding namun faktor utama ialah keperibadian dan cara mereka mendekati selain memahami denyut nadi serta kehendak rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya tiada masalah (lelaki atau perempuan), janji pemimpin itu ikhlas kepada rakyat dan tahu kesusahan yang dihadapi rakyat… sebab kadang-kadang ada sesetengah pemimpin ni, bila dia dah naik (menang pilihan raya), dia tak ambil tahu dah,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid Baharom, 77, pula berpendapat calon harus mempunyai latar belakang berkualiti dan berpelajaran kerana pemimpin berilmu akan membawa kebaikan kepada masyarakat serta perlu sentiasa ada idea baharu untuk pembangunan rakyat.

Bagi pekerja swasta Aufa Mardhiah Amir Hamzah, 27, penglibatan wanita bukan sekadar memenuhi kuota sebaliknya calon mestilah berwibawa dan membawa manifesto yang baik dan meyakinkan.

BACA JUGA: PRN: Senarai Penuh Calon PH-BN Di Enam Negeri

Calon yang bertanding di DUN Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN), 52, pula yakin pengalaman selama 15 tahun di pentas politik mampu memperkasa wanita serta masyarakat luar bandar manakala masalah infrastruktur dan capaian Internet selain pembangunan belia adalah antara fokus utama beliau.

“Ini kali pertama saya bertanding di Juasseh, saya yakin kalau kita menang dan selagi berada di bawah Kerajaan Perpaduan, banyak program dapat dilakukan untuk memajukan masyarakat luar bandar,” katanya yang berdepan saingan satu lawan satu menentang bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith.

Bagi calon PH di DUN Paroi Norwani Ahmat, tanggungjawab sebagai pemimpin bukanlah bergantung kepada jantina dan percaya ia adalah nilai tambah yang boleh diberikan kepada barisan kepimpinan.

Calon DAP di DUN Bukit Kepayang, Nicole Tan pula berharap rakyat dapat menilai beliau berdasarkan rekod prestasinya sebagai ADUN merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan yang sentiasa memfokus kepada program memperkasa serta menjaga kebajikan wanita.

Antara usaha beliau ialah melalui penubuhan Power House Wanita Gemilang (PH GEM) yang berjaya menarik penyertaan dan membantu hampir 30,000 wanita.

“Saya mahu menjadi teladan serta rujukan kepada wanita lain, harapan saya ialah lebih ramai wanita terlibat dalam politik atau bidang lain yang mereka minati,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?