PKR Perak Mahu Penyebar Video Manipulasi Titah Sultan Perak Dikenakan Tindakan Tegas
IPOH, 1 Ogos (Bernama) — Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak meminta pihak polis mengambil tindakan tegas, terhadap individu yang memuat naik olahan satu klip video mengaitkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, untuk digunakan sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangannya Mohd Noorazam Shah Ahmad Afandi berkata tindakan tegas itu perlu, kerana perbuatan itu disifatkan mencemar nama baik Sultan Nazrin dan institusi diraja Perak, bagi meraih sokongan pengundi khususnya kepada Perikatan Nasional (PN).
“Isu 3R (agama, raja dan kaum) ini telah kerap kali dimainkan oleh PN, di mana kita lihat di Selangor sebelum ini juga Sultan Selangor turut diheret sama, dalam perkara melibatkan politik kepartian.
“Mereka langsung tidak mempunyai sensitiviti, malah sanggup menggunakan apa jua subjek asalkan memberi impak kepada publisiti politik murahan mereka,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Terdahulu, tular klip video berdurasi dua minit 50 saat, yang memetik satu bahagian kecil titah baginda pada 2013 yang menyentuh tentang parti berkenaan.
Petikan video itu, merupakan potongan rakaman titah Sultan Nazrin sempena Wacana Perpaduan Ummah, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2013.
Sementara itu, Mohd Noorazam Shah berkata pihak pembangkang, seharusnya lebih profesional dan menggunakan kaedah yang lebih pragmatik, dalam menarik sokongan para pengundi.
Beliau berkata pihaknya akan terus menjunjung taat setia serta menghormati institusi diraja, selain tidak akan sesekali mengeksploitasi perkara berkenaan untuk kepentingan parti.
“Kita menentang sekeras-kerasnya tindakan dan cubaan mengeksploitasikan pihak istana. Perkara seumpama ini perlu dihentikan serta merta tanpa sebarang alasan,” katanya.
Semalam, Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan memaklumkan telah membuat laporan polis pada Sabtu, selepas seorang wanita memuat naik satu klip video itu yang dikatakan bagi tujuan meraih kepentingan politik.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pula mengesahkan telah menerima 20 laporan berhubung penularan video berkenaan.
BACA: Rumah 3 Bilik Tidur & 2 Bilik Air, Ada Enam Rekaan Boleh Pilih, Cara Mohon Rumah Mesra Rakyat
Sumber: Bernama