Siakap Keli
pecah masuk stor ekshibit
Kredit BERNAMA

Sarjan Ditahan Bantu Siasatan Kes Pecah Masuk Stor Ekshibit IPD Sepang

Sarjan Ditahan Bantu Siasatan Kes Pecah Masuk Stor Ekshibit IPD Sepang

SERDANG, 1 Ogos (Bernama) — Seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pecah masuk stor ekshibit Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Jumaat lepas, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata individu berusia lingkungan 40-an itu merupakan anggota polis IPD berkenaan yang bertugas di Unit Komersial.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan Ke-7 Sime Darby Property Bhd di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, beliau berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk.

“Motif kejadian serta nilai kerugian barangan yang hilang masih dalam siasatan,” katanya dan menambah polis akan membuat permohonan reman terhadap anggota polis berkenaan.

Kes pecah masuk stor ekshibit itu dilaporkan mengakibatkan sejumlah barang berkaitan kes narkotik yang sedang dalam tindakan pelupusan hilang serta sebuah beg berisi komputer peribadi yang berfungsi untuk mengemas kini data barang kes turut hilang.

BACA: Kehilangan Jutawan Kripto Terjawab, Ditemui Mati & Mayat Dikerat

Sebelum ini, tular satu laporan polis yang mendakwa stor ekshibit berkenaan mempunyai kesan geledah selain kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi didapati dirosakkan dan tidak berfungsi.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Hussein berkata setakat semalam, pihaknya telah menerima 16 laporan yang melibatkan tujuh kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Laporan kesalahan yang diterima membabitkan perbuatan khianat seperti mengoyakkan poster dan sebagainya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka