Siakap Keli
Syahir berdebat rafizi
Kredit Twitter/Rafizi Ramli

Syahir Terima Semula Jemputan Saya Untuk Berdebat – Rafizi Ramli

Syahir Terima Semula Jemputan Saya Untuk Berdebat – Rafizi Ramli

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli pada hari ini mendedahkan bahawa Mohd Syahir Che Sulaiman telah menerima semula jemputan untuk berdebat dengannya.

Perkara itu dinyatakan Rafizi menerusi muat naik ciapannya di Twitter rasmi miliknya pada pagi tadi.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Sdr. Syahir telah menerima semula jemputan saya untuk berdebat setelah mendapat keizinan pimpinan beliau.

“Saya ucapkan terima kasih. Platform debat adalah peluang bagi parti-parti membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat,” tulis ciapan Rafizi di Twitter miliknya.

Cabaran debat bakal dijalankan pada 9 Ogos ini

Sementara itu, segala maklumat berkenaan debat itu akan diberitahu kemudian, namun tarikh debat ditetapkan pada 9 Ogos ini.

“Maklumat lanjut debat akan dimaklumkan tetapi tarikh setakat ini adalah 9 Ogos 2023,” sambung ciapan itu lagi.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi hantaran di Facebook miliknya sebentar tadi turut berkongsikan persetujuan tersebut.

Menurut Mohd Syahir, beliau telah bersetuju untuk sesi debat bersama Rafizi Ramli tanpa sebarang syarat.

“Setelah mempertimbangkan semula jemputan YB Menteri Ekonomi, dan setelah mendapat keizinan pucuk pimpinan, maka saya dengan ini menyatakan persetujuan tanpa sebarang syarat,” tulis tangkap layar hantaran emel Mohd Syahir kepada Rafizi Ramli.

BACA: Kehilangan Jutawan Kripto Terjawab, Ditemui Mati & Mayat Dikerat

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa segala ketetapan seperti Tarikh, Moderator, Format dan Media diserahkan sepenuhnya kepada Rafizi.

Beliau turut mencadangkan pemilihan tajuk ‘Malaysia Lebih Baik’ sebagai tajuk utama sesi perdebatan tersebut.

Sebelum ini, Syahir dikatakan sedang menunggu jemputan daripada Rafizi Ramli dalam sesi debat yang ingin dijalankan.

Memetik Sinar Harian, Ahli Parlimen Bachok itu antara nama yang disebut untuk menggantikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi dalam cabaran debat.

Terdahulu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut telah menolak jemputan cabaran debat tersebut.

Sumber: Twitter/Rafizi Ramli, Facebook/Syahir Sulaiman, Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka