Siakap Keli
bam kontrak misbun
Gambar: Bernama

BAM Buat ‘Pusingan-U’ Tawar Misbun Habiskan Kontrak Hingga Hujung Tahun

BAM Buat ‘Pusingan-U’ Tawar Misbun Habiskan Kontrak Hingga Hujung Tahun

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) — Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat ‘pusingan-u’ dengan memberikan tawaran kepada Datuk Misbun Sidek menghabiskan kontrak sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) sehingga hujung tahun ini.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang melangkaui keputusan dibuat Jawantankuasa Khas baru-baru ini, berkata tawaran dibuat kepada Misbun itu membolehkannya untuk membimbing pemain remaja ke Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington dari 25 Sept hingga 8 Okt ini.

Sehubungan itu, beliau yang tampil untuk menjernihkan keadaan, meminta maaf bagi pihak BAM kepada Misbun dan menyatakan isu tersebut timbul susulan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak sebelum ini.

“Untuk tawaran kembali jawatan Misbun dan jika beliau tidak berminat, boleh jumpa kita dan jawatankuasa khas bersedia bertemunya bagi menyelesaikan secara baik supaya kita tidak mahu ada masalah selain enggan ada pihak rasa teraniaya dan dipinggirkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohamad Norza berkata beliau sebenarnya dimaklumkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, yang mengetuai jawatankuasa khas bagi menyiasat kegagalan di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas, bahawa Misbun menerima keputusan untuk ditamatkan kontrak lebih awal.

Sekiranya Misbun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, Mohamad Norza berkata beliau akan berjumpa dengan bekas pemain negara itu bagi meleraikan permasalahan yang timbul.

“Jika ketika itu Misbun tidak setuju, saya akan pergi jumpa sebab saya ada hubungan istimewa dengannya. Saya tidak pernah tidak menghormatinya…saya mahu minta maaf bagi pihak BAM kerana kita adalah satu keluarga besar dan pernlu ada musuh dalam usaha selesaikan perkara ini,” katanya.

BACA JUGA: Misbun Sedia Akur Dengan Keputusan BAM

Menyorot kembali hubungan istimewanya dengan Misbun sebelum ini, Mohamad Norza berkata beliau sememangya amat menghormati jurulatih berusia 63 tahun itu susulan sumbangan besarnya dalam sukan badminton tanah air sebelum ini.

Beliau berkata sebaik memegang jawatan Presiden BAM pada 2017, beliau yang ketika itu kurang pengalaman dalam badminton, menyatakan hasrat kepada ahli majlis BAM untuk mengambil semula khidmat Misbun yang meninggalkan badan induk sukan tersebut pada 2011.

“Hala tuju saya ketika itu sebagai presiden adalah memandangkan saya berada dalam era akhir Datuk Lee Chong Wei, saya tertanya-tanya siapa selepasnya. Saya beritahu Chong Wei boleh tak kenalkan dengan Misbun kerana beliau pernah lahirkan Chong Wei dan Roslin Hashim,” katanya

Sebelum ini, biarpun gagal membimbing pemain remaja mencatat kejayaan membanggakan pada Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, Mohamad Norza berkata beliau mahu Misbun terus diberi kepercayaan bagi membimbing skuad negara bagi menghadapi saingan Kejohanan Remaja Asia 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata selepas skuad remaja gagal menyerlah di Yogyakarta, jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kegagalan tersebut sehingga membawa kepada keputusan mereka menamatkan hubungan dengan BAM.

Oktober lepas, Malaysia gagal ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dan menamatkan acara berpasukan campuran di tangga kesembilan menumpaskan Denmark, 4-1 dan lebih menyedihkan apabila buat pertama kali, tiada pemain kebangsaan layak ke suku akhir bagi saingan perseorangan.

Skuad remaja negara menampilkan persembahan hambar di Yogyakarta apabila mereka tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran manakala tiada seorang pun wakil layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.

Jumaat lepas, Subramaniam pada satu sidang media memaklumkan mereka dan Misbun bersetuju secara bersama untuk berpisah.

Namun, Misbun pada Isnin lepas sebaliknya mendakwa keputusan tersebut bercanggah dengan apa dimaklumkan kepada media dan memberitahu beliau sebenarnya diberhentikan selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa khas bagi membentangkan ‘post mortem’ kegagalan skuad remaja di Yogyakarta.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?