Polis Terima Laporan Berhubung Klip Video Hina Anwar Ibrahim
Polis Kedah pada hari ini memaklumkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka berhubung laporan penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Astro Awani.
Penghinaan itu dikatakan telah dibuat menerusi sebuah rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Jurucakap Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pendang pada jam 1.45 petang Selasa lalu.
Laporan polis itu telah dibuat oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Pendang.
“Polis Kedah telah terima satu laporan berkaitan penghinaan terhadap Perdana Menteri Malaysia.
“Pengadu merupakan ahli jawatankuasa UMNO Pendang beritahu telah melayari akaun TikTok ‘Projek Papa’. Didapati kandungan video tersebut mempunyai unsur yang menghina Perdana Menteri Malaysia. Ia juga mempunyai hasutan yang boleh menyebabkan kegusaran dan perpecahan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Alzafny turut memaklumkan bahawa kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 233 AKM 1988.
Kenyataan Hadi Awang Dilarang Ke Arab Saudi Adalah Palsu – PAS
Satu kenyataan rasmi yang mendakwa Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Datuk Abdul Hadi Awang dilarang untuk memasuki Arab Saudi adalah palsu.
Demikian penegasan parti itu rentetan kenyataan tersebut tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai menjadi ‘modal’ politik oleh sesetengah pihak.
“Palsu!
“Ini adalah bukti pihak mereka sudah ketandusan idea untuk bersaing secara demokratik, matang dan bermaruah dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) kali ini,” tegas PAS.
BACA: Wanita Dilapor Terselamat, Sejam Bertarung Nyawa Diterkam Buaya
PAS melontar penjelasan tersebut menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi pada semalam. Ia termasuk sekeping gambar ‘kenyataan rasmi’ itu.
Difahamkan, PAS menjelaskan terdapat dua ‘tanda’ yang membuktikan bahawa kenyataan tular tersebut adalah palsu. Iaitu pada sistem tarikh dan jawatan Abdul Hadi.
“Fakta, (pertama) kenyataan rasmi Arab Saudi menggunakan tahun Hijrah, bukan Masihi.
“(Kedua) Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS bukan lagi Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.
“Ayuh bersama Perikatan Nasional (PN), kita lenyapkan budaya politik yang rendah akal budi seperti ini dan kita bina negara yang bersih dan stabil!” tambah hantaran itu.
Sumber: Astro Awani