Siakap Keli
Kredit: Freepik

Adakah Media Sosial Mempengaruhi Kesihatan Mental Saya?

Kaji selidik Gardenia KL Tingkatkan Kesedaran Tentang Kesan Negatif dan Positif Media Sosial Ke Atas Rakyat Malaysia

Shah Alam, 1 Ogos 2023 – Media sosial membentuk sebahagian penting daripada hubungan sesama manusia  pada hari ini. Pengguna media sosial sering berkongsi pengalaman dan kenangan serta perkembangan hidup mereka menerusi pelbagai platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan aplikasi terbaharu, Threads.

Setiap  aplikasi ini sentiasa menambah baik ciri-cirinya  bagi meningkatkan tahap penggunaan. Dalam dunia di mana semakin sukar untuk memisah dunia nyata daripada dunia maya, bagaimanakah media sosial mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia dan tanggapan mereka terhadap nilai  diri?

Kaji Selidik Wellness Begins At Home (Kesejahteraan Bermula di Rumah) 2023 oleh Gardenia KL baru-baru ini mendedahkan bahawa 32.4% daripada responden yang berumur antara 26 hingga 30 tahun lebih cenderung untuk berasa tertekan apabila melihat hantaran rakan-rakan berkait kehidupan masing-masing berbanding responden daripada kumpulan umur lain (23%). Data tersebut menunjukkan trend membimbangkan berkenaan kesihatan mental para pengguna media sosial.

“Kami percaya perbincangan mengenai  kesihatan mental seharusnya melibatkan semua golongan peringkat umur, daripada yang muda sehinggalah kepada warga emas. Inilah faktor yang mendorong inisiatif Kesejahteraan Bermula di Rumah kami, yang memberi tumpuan kepada soal kesejahteraan unit keluarga dan setiap insan di rumah.

“Hasil kaji  selidik ini jelas menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan keterbukaan bagi membincangkan punca tekanan mental dan cara yang lebih sihat untuk menangani cabaran,” ujar Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dah Perhubungan Awam Gardenia Bakeries KL, Hazlinah Harun.

Menurut kaji  selidik tersebut, responden yang mengalami masalah kewangan lazimnya bertindak mengelak daripada melayari media sosial dengan harapan untuk mengurangkan perasaan sedih terhadap situasi mereka. Data ini selari dengan hasil kaji  selidik Kekayaan Moden 2019 oleh Schwab yang dilaporkan dalam sebuah artikel di CNBC.

Kaji  selidik tersebut mendapati bahawa 49% daripada golongan milenial mendakwa media sosial memberi kesan terhadap perbelanjaan dalam aktiviti mahal. Menurut satu lagi laporan oleh McLean Hospital —bahagian psikiatrik Harvard Medical School — platform media sosial direka bentuk untuk mendorong ketagihan dalam kalangan pengguna dan telah dikaitkan dengan kebimbangan, kemurungan dan penyakit lain.

Namun begitu dari sudut lain, media sosial juga memainkan peranan penting dalam ekspresi diri, meningkatkan kesedaran dan mengekalkan jalin-hubungan.

“Ketika pandemik Covid-19 melanda, kita belum bersedia menghadapi kesannya dari segi fizikal dan mental. Kebanyakan orang terputus hubungan dengan rakan dan sahabat rapat mereka, terutamanya apabila perintah kawalan pergerakan dikenakan. Ini memberikan kesan ketara terhadap ramai orang dari segenap peringkat usia.

“Kami berharap untuk meneruskan perbualan tentang kesihatan mental menerusi platform Kesejahteraan Bermula di Rumah untuk tahun-tahun akan datang kerana kesejahteraan mental adalah satu proses dan ia harus disemai bermula dari rumah,” jelas Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Puan Anita Abu Bakar.

Pada hakikatnya, media sosial boleh dijadikan alat yang bermanfaat untuk menyokong kesihatan mental, tetapi perlu digunakan secara bertanggungjawab dan secara sederhana. Berikut adalah beberapa petua menggunakan media sosial secara positif untuk kesihatan mental yang lebih baik:

  • Pastikan hantaran yang dibuat bersifat positif,
  • Layani orang lain dengan baik, sepertimana anda mahu dilayan,
  • Luangkan masa untuk menjauhi media sosial dan melakukan aktiviti lain yang diminati,
  • Elakkan diri daripada menilai harga diri berasaskan ‘like’ , yang hanya bersifat cetek,
  • Memahami bahawa kecantikan dan kejayaan boleh diraikan dalam pelbagai cara.

Jika anda atau orang yang anda kenali sedang menghadapi krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA di www.miasa.org.my. MIASA sedia untuk menawarkan penilaian dan rundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi kerohanian, penilaian terapeutik, perkhidmatan pakar psikologi dan sokongan rakan setara. Di samping itu, anda juga boleh menghubungi talian bantuan 24 jam MIASA di 1-800-820-066.

Kunjungi Facebook dan Youtube @GardeniaKL untuk mengikuti perbincangan ‘Kesejahteraan Bermula di Rumah’ Gardenia KL.

Mengenai Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd

Gardenia KL ditubuhkan pada 1986 dan kini merupakan pengilang roti yang terulung di Asia Tenggara. Selepas bertapak 35 tahun, Gardenia mengendalikan operasi bakeri di Malaysia dan mengeluarkan 59 jenis produk setiap hari, termasuk pelbagai jenis roti, ban, kek, wafel, produk lain seperti sapuan, mi kuning dan mi segera.

Setiap hari, Gardenia menghantar roti segar percuma kepada lebih 80 pertubuhan kebajikan seperti rumah orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah untuk pelajar pendidikan khas, lapan daripadanya termasuk dalam senarai penghantaran percuma Gardenia sejak 1991.

Amira

Love yourself.