Chong Wei Luah Terguris Dengan Isu Membabitkan BAM Dan Misbun
Kemelut yang melanda antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersama dengan Datuk Misbun Sidek menyebabkan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terguris, lapor Astro Awani.
Misbun dalam satu sidang media baru-baru ini telah menafikan bahawa dia meninggalkan jawatan Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) atas dasar persetujuan bersama dengan BAM.
Selain itu, Misbun turut meluahkan rasa terkilannya selepas meninggalkan ABM tersebut.
Keputusan itu dikatakan hanya dimaklumkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam dan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Norza dalam satu sidang media di ABM semalam, mengakui bahawa kemelut berkenaan disebabkan oleh salah faham antara pihaknya dan Misbun.
BAM kemudiannya dilaporkan menawarkan bekas jurulatih itu untuk kembali berkhidmat sehingga kontraknya tamat.
Selain itu, Norza turut berkata isu tersebut juga boleh dibawa ke meja rundingan untuk diselesaikan secara baik antara dua pihak.
Dalam pada itu, bekas pemain nombor satu dunia, Chong Wei mendedahkan bahawa hatinya terguris dengan kemelut yang melanda.
Misbun dan BAM merupakan dua entiti yang bertanggungjawab menjadikannya sebagai ikon Badminton di dunia mahupun Malaysia.
“Saya mengakui apa yang Tan Sri cakap, sewaktu dia bawa Datuk Misbun (ke dalam BAM), kami tidak mempunyai banyak penaja. Tan Sri sendiri terpaksa mengeluarkan perbelanjaannya,” katanya dalam sidang media itu.
“Dengan itu barulah masa depan saya ada. Saya boleh katakan yang keputusan Tan Sri itu adalah untuk kebaikan badminton negara. Untuk menghasilkan bukan sahaja Lee Chong Wei kedua tetapi mungkin lima atau enam orang lagi.
“Saya menjadi saksi Tan Sri (menawarkan kontrak) di rumahnya (Misbun) dan atas dasar itu, saya berada di sini dalam sidang media ini.
BACA: BAM Buat ‘Pusingan-U’ Tawar Misbun Habiskan Kontrak Hingga Hujung Tahun
“Akan tetapi, mengenai tawaran yang diberikan Tan Sri itu perlu diberikan kepada Datuk Misbun untuk membuat keputusan.
“Isu ini memang agak mengguriskan hati saya kerana badminton sentiasa ada dalam darah saya dan saya pernah 19 tahun dalam BAM. Tiada orang lain lebih lama daripada saya.
“Bagi saya, BAM sentiasa melakukan yang terbaik buat atlet dan jurulatih kita,” katanya.
Sumber: Astro Awani