Kenapa Korea Utara Dikenali Sebagai Negara Terpencil Di Dunia?
Korea Utara dikatakan sebuah negara yang paling digeruni ramai dan ia juga tidak sesuai untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan susulan pengawalannya yang ketat ke atas semua penduduk.
Kalau nak tahu, Korea Utara juga dikenali sebagai ‘kerajaan pertapaan’ di mana ia adalah negara yang paling terpencil dan berahsia di dunia.
Orang yang tinggal di negara ini memerlukan kebenaran untuk memelihara haiwan peliharaan, memakai denim biru, menyimpan rambut panjang atau mandi air panas.
Pada 2020, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pernah meminta rakyat negara itu untuk meninggalkan anjing peliharaan mereka bagi memastikan restoran mempunyai daging yang mencukupi.
Sejarah Korea Utara

Pada tahun 1905, Perjanjian Portsmouth telah mengiktiraf Jepun sebagai naungan Korea.
Tetapi apabila Perang Dunia II berakhir pada tahun 1945, Semenanjung Korea ditinggalkan di bawah kuasa Soviet Union (USSR) dan Amerika Syarikat (AS).
Mereka membahagikannya kepada dua zon yang dipanggil Korea Utara dan Selatan, dan meletakkan Utara sebagai pro-USSR manakala Selatan Pro-AS.
Kemudian, pemimpin atau diktator pertama yang diletakkan di negara Korea Utara ialah Kim II Sung.
Beliau mengamalkan moto Juche, iaitu berdikari sebelum Perang Korea dan semasa tempoh perkhidmatannya, dasar pasaran dikawal negara telah diterima pakai yang mengakibatkan ledakan ekonomi berlaku dalam jangka pendek.
Korea Utara telah mengikuti 10 prinsip sistem satu ideologi yang diperintah oleh keluarga diktator sejak awal.
BACA: Satelit Pengintip Korea Utara Terhempas Dalam Laut, Cetuskan Panik Di Korea Selatan
Dianggap negara termiskin
Korea Utara difahamkan dipercayai agak ‘ketinggalan’ dalam pengeluaran makanan atas faktor kekurangan kepelbagaian produk dan teknologi lama.
Disebabkan infrastruktur yang lemah di negara itu ia telah menyebabkan Korea Utara agak terasing daripada semua persaingan global dan dunia kontemporari.
Walaupun ia adalah salah satu negara termiskin di dunia, sebahagian besar sumbernya digunakan untuk membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu balistik.
Menurut laporan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 10 juta orang yang tinggal di Korea Utara mengalami kekurangan zat makanan dan jumlah penduduk negara ialah 25 juta.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Korea Utara berada di kedudukan ke-208 di dunia, di mana ia berada di atas Rwanda, negara yang dilanda kemiskinan yang terletak di timur Afrika.

Sistem kuota pengeluaran dan dasar kawalan harga kerajaan adalah ancaman eksistensi kepada kesejahteraan sosial di negara ini.
Korea Utara telah menjadi tempat perlindungan yang tidak selamat untuk rakyatnya kerana pencabulan hak sivil dan peraturan persekutuan yang kejam.
Sekatan yang dikenakan oleh banyak negara besar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah punca utama ekonomi dan permusuhan luaran berlaku di negara itu.
Cabaran dihadapi penduduk

Walaupun ancaman Korea Utara terhadap dunia luar sentiasa menarik perhatian media, namun rakyat yang berada di negara itu, sebenarnya lebih terancam.
Bagi mengekalkan kawalan, rejim Korea Utara telah melucutkan kuasa dan potensi rakyat melalui sistem pengasingan, indoktrinasi dan penindasan kejam.
Pengasingan paksa dari seluruh umat manusia
Untuk melindungi kuasa propaganda dan ideologinya, legasi kerajaan cuba mengasingkan rakyat Korea Utara daripada dunia luar.
Pengasingan fizikal
Merujuk Liberty in North Korea, adalah haram bagi warga Korea Utara untuk meninggalkan negara mereka tanpa kebenaran kerajaan.
Mereka yang cuba untuk meninggalkan negara itu secara haram dan ditangkap boleh menghadapi akibat yang teruk termasuk penyeksaan, kerja paksa dan penjara seumur hidup dalam kem penjara politik.
Sebaliknya sebab-sebab yang dibenarkan untuk berhijrah ke luar negara adalah seperti urusan diplomat, pelajar elit, pekerja yang direkrut dan atlet.
Namun atlet itu mestilah dipantau dengan teliti dan diperlukan untuk menghadiri taklimat ideologi khas sebaik sahaja mereka kembali ke Korea Utara.
Pengasingan digital
Penduduk di Korea Utara tidak mempunyai sambungan internet ke dunia luar. Televisyen dan radio ditetapkan kepada hanya kepada saluran kerajaan yang diluluskan.
Tidak hanya itu, mereka juga tidak dibenarkan untuk membuat panggilan antarabangsa dan gajet dimiliki juga tidak boleh mengakses internet global.
Sebaliknya, mereka disambungkan ke intranet negara yang sangat dihadkan dan dikawal oleh kerajaan.
Difahamkan, bagi rakyat Korea Utara yang ingin memuat naik atau memuat turun aplikasi yang diluluskan ke telefon pintar, mereka perlu pergi ke kedai fizikal.
Indoktrinasi tanpa henti
Selain itu, kerajaan akan memastikan rakyat Korea Utara tetap patuh pada undang-undang dan sejumlah besar pendapatan negara dipercayai dibelanjakan ke arah usaha membentuk rakyat yang setia dan ada jati diri.
Ideologi ekstrem
Difahamkan, ideologi Korea Utara adalah kombinasi antara beberapa jenis fahaman iaitu autoritarianisme, nasionalisme dan ketenteraan yang diterapkan sejak penubuhannya (negara) dan masih berterusan lebih 70 tahun kemudian.
Kultus keperibadian

Kim II Sung, pemimpin pertama Korea Utara, membina kultus personaliti untuk menyatukan kuasa selepas menghapuskan puak yang bersaing pada awal 1950-an.
Dalam memastikan kewajaran dalam pemerintahan autoritariannya, beliau menulis semula sejarah keluarganya dan pencapaiannya sendiri.
Beliau turut mendakwa dirinya pernah berjuang hampir seorang diri mengalahkan Jepun untuk membebaskan rakyat Korea (semasa era perang).
Sepanjang pemerintahannya, beliau dirujuk dengan gelaran yang megah seperti ‘Pemimpin Syurgawi’, dan patung-patung tugunya didirikan di seluruh negara.
Selain itu, antara ‘mandat’ kerajaan adalah setiap orang dewasa Korea Utara diarah mesti memakai lencana Kim II-sung di atas dada mereka untuk menunjukkan kesetiaan dan amalan itu difahamkan berterusan sehingga hari ini.
Kultus keperibadian dan pencapaian keluarga Kim yang keterlaluan juga meluaskan pemerintahan mereka melalui kenaikan anak lelaki Kim II Sung, Kim Jong II dan kini cucunya, Kim Jong Un.
Antara sejarah penting pernah dicatat media kerajaan di Korea Utara malah laporan mendakwa Kim Jong Un belajar memandu pada usia seawal 3 tahun.
Sehingga hari ini, keluarga Kim yang memerintah digambarkan sebagai ‘dewa’ dengan cerita mitos yang mengelilingi pencapaian mereka dari generasi ke generasi.
Tiada apa untuk dicemburui
Kerajaan Korea Utara ‘bergantung’ pada propaganda yang memuliakan sistem pemerintahan, selain mencemarkan pengaruh asing, terutamanya Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Salah satu indoktrinasinya adalah setiap rakyat sudah diajar untuk tidak terasa cemburu dengan negara lain, dalam masa sama berbangga dengan negara sendiri.
Malah propagandanya turut ‘mengajar’ setiap rakyat bahawa dunia luar jauh lebih teruk dengan masalah rasuah, penyakit dan konflik.
Tentera didahulukan
Selain itu, propaganda lain yang sering digunakan adalah sentiasa mengingatkan rakyat Korea Utara betapa pentingnya tentera untuk kelangsungan negara.
Amerika Syarikat dan Korea Selatan digambarkan sebagai penceroboh yang mungkin akan menyerang pada bila-bila masa, sekaligus mewajarkan keperluan untuk pengorbanan yang besar demi ketenteraan dan pembangunan senjata nuklear.
Sekolah
Kanak-kanak Korea Utara mula belajar tentang keluarga Kim seawal tadika. Pelajar dikehendaki menghafal sejarah Kim sepanjang persekolahan mereka dan sumber dan masa yang besar didedikasikan untuk kajian kepimpinan negara.
Tempat kerja
Berjuta-juta dolar dan waktu buruh dipercayai dihabiskan untuk memuliakan keluarga Kim dengan mengorbankan ekonomi dan kebajikan rakyat jelata.
Propaganda ini diperkukuh oleh seminar ideologi dan sesi kritik diri di mana pekerja mengkritik diri mereka sendiri di hadapan rakan sekerja masing-masing.
Rumah
Rakyat Korea Utara juga mesti tinggal dalam unit kejiranan yang dipanggil inminban yang terdiri daripada 20-40 keluarga per kawasan.
Unit ini diawasi oleh seorang pemimpin tempatan yang tugasnya membantu pihak berkuasa dalam mengawasi kawasan kejiranan itu.
Sementara itu, potret dua pemerintah pertama Korea Utara, Kim II Sung dan Kim Jong II pula adalah wajib digantung di setiap rumah.
Hiburan
Dari sastera sehinggalah ke filem, semua kandungan media wajib mendapat kelulusan oleh kerajaan sebelum diterbit atau disiarkan.
Matlamat media ini adalah untuk mengindoktrinasikan rakyat Korea Utara supaya patuh dan tunduk kepada kepimpinan dengan memuji dedikasi keluarga Kim dan pengorbanan mereka kepada negara.
Sumber: Wion News, Liberty In North Korea