Siakap Keli
Jabatan Imigresen tahan 425 warga asing
Kredit BERNAMA

Jadikan Apartmen Sebagai “Perkampungan”, JIM Tahan 425 Pendatang Tanpa Izin

Jadikan Apartmen Sebagai “Perkampungan”, JIM Tahan 425 Pendatang Tanpa Izin

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — Cubaan sekumpulan warga asing menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan diri daripada ditahan oleh Jabatan Imigresen (JIM) termasuk bersembunyi di dalam tong sampah dan almari, tidak berhasil apabila ditahan dalam satu operasi di Cheria Heights Apartment, Taman Bukit Cheras, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Bahrin Mohshin berkata serbuan dilakukan hasil siasatan dan risikan selama dua minggu ekoran aduan orang awam yang mengatakan jumlah warga asing terlalu ramai di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

“Dalam operasi yang dijalankan oleh 60 pegawai dan anggota JIM bermula 1 pagi dan berakhir 4 pagi, sebanyak 425 pendatang tanpa izin ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah, tinggal lebih masa atau tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara selain pemegang kad yang tidak diiktiraf.

“Mereka yang ditahan iaitu 372 lelaki dan 53 wanita terdiri daripada warga Bangladesh sebanyak 252 orang, Myanmar (108), Filipina (dua), Indonesia (30), Kemboja (enam), Nepal (20) dan tujuh warga Pakistan yang kesemuanya berumur lingkungan lapan hingga 54 tahun,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu.

Menurutnya, siasatan mendapati warga asing yang ditahan itu bekerja dalam pelbagai bidang termasuk sektor pembinaan dan pembersihan.

BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma

Beliau berkata semasa operasi dilakukan, ada dalam kalangan warga asing berkenaan turut bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek termasuk botol bagi mengelakkan diri ditahan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Syamsul Bahrin berkata selain daripada yang ditahan, terdapat juga warga asing yang tinggal di kawasan itu adalah dalam kalangan pelarian Rohingya yang mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka yang mempunyai pas kerja yang sah.

“Untuk warga Myanmar, mereka mempunyai kad yang berdasarkan persatuan atau etnik mereka, namun kad berkenaan tidak sah digunakan dan tidak diiktiraf (dalam negara).

“Mereka yang hanya ada kad tersebut sebagai pengenalan diri, imigresen akan tahan mereka,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka