Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

94 Pendatang Tanpa Izin Dihantar Pulang Dan Disenaraihitamkan

BERNAMA
94 Pendatang Tanpa Izin
Kredit: JIM Kedah Via Bernama

94 Pendatang Tanpa Izin Dihantar Pulang Dan Disenaraihitamkan

SIK, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak 94 pendatang tanpa izin yang ditahan di Depot Imigresen Belantik dekat sini telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua yang dihantar pulang terdiri daripada 82 lelaki dan 12 wanita, melibatkan warga Bangladesh, China, Mesir, Kenya, India, Pakistan dan Myanmar.

Menurut kenyataan itu, kesemua tahanan yang ditempatkan di depot berkenaan didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk memasuki negara ini tanpa pas atau permit sah, serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Mereka telah selesai menjalani hukuman yang diperuntukkan mengikut undang-undang sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

"Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua 94 pendatang terbabit turut disenaraihitamkan dalam sistem JIM bagi menghalang mereka daripada memasuki semula negara ini," menurut kenyataan itu hari ini.

Program penghantaran pulang itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan JIM Kedah dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang Imigresen serta memastikan setiap warga asing yang berada di negara ini mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan.