Siakap Keli
larangan pengundi ahli politik prn

5 Larangan Kepada Pengundi & Ahli Politik Ketika PRN, No 3 Tu Dah Banyak Kali Jadi

*Artikel ini dibawakan oleh Forum Kandungan Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (CMCF)

5 Larangan Kepada Pengundi & Ahli Politik Ketika PRN, No 3 Tu Dah Banyak Kali Jadi

Semua sedia maklum, tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) jatuh pada tanggal 12 Ogos, jadi sekarang waktu dimana parti-parti politik ‘berkampung’ untuk berkempen. 

Aktiviti berkempen perlulah berlangsung dalam keadaan yang harmoni, sebaliknya situasi yang terpampang dicontengkan dengan pelbagai perkara yang kurang menyenangkan kita. 

Antaranya ialah serangan berunsur peribadi terhadap pemimpin politik, membuat kenyataan kontroversi, menimbulkan fitnah dan macam-macam lagi.

Perkara sebegini perlu dielakkan kerana ada di antaranya menyalahi undang-undang dan berisiko dikenakan hukuman. 

Oleh itu, hari ini min nak share beberapa kesalahan ketika kempen pilihan raya yang seperti yang telah digariskan oleh Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif CMCF melalui kenyataan media. Jom!

5 Larangan Kepada Pengundi & Ahli Politik Ketika PRN

Kesalahan pertama adalah perbuatan atau tindakan dengan tujuan menghasut untuk menimbulkan rasa jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum.

Perbuatan ini dianggap melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 4A dimana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Kedua, dalam Kod Kandungan 2022, dalam Bahagian 2, Perenggan 5.1 turut melarang kandungan yang boleh mengancam, menyebabkan gangguan, ancaman kecederaan, mendorong kepada perbuatan jenayah atau menjurus kepada ketidaktenteraman awam.

Yang ketiga ni sering berlaku dan seolah-olah menjadi barah dalam masyarakat, iaitu berita palsu. Sehubungan itu, penting untuk memastikan kandungan atau maklumat yang di sampaikan adalah tepat dan tidak mengelirukan orang ramai. Bak kata orang “Tak Pasti Jangan Kongsi”.

Selain itu, sewaktu PRN, elakkan daripada terlibat dalam isu yang melibatkan sensitiviti kaum, agama, wanita, kanak-kanak, dan orang kurang upaya. Bukan itu sahaja, ada juga sebahagian tindakan atau pernyataan yang sehingga melibatkan ‘3R’ iaitu Agama, Majlis Raja-Raja dan Kaum. 

Perkara ini sepatutnya tidak boleh disentuh kerana telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sekian lama. Hal ini kerana ia boleh memberikan implikasi dalam jangka masa panjang bahkan selepas PRN. 

“Dalam dunia digital yang serba pantas, adalah penting untuk semua pihak bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakan atau ditulis kerana apabila telah tular, akan menjadi sukar untuk ditarik balik atau dipadamkan,” 

Terakhir, perbuatan atau tindakan menyebarkan kandungan yang berunsurkan fitnah, mengumpat atau melakukan serangan peribadi pihak tertentu haruslah dielakkan. Ia bagi mempertahankan integriti bukan sahaja sepanjang PRN namun sehingga masa akan datang. 

Dalam masa yang sama, orang ramai tidak keliru dengan maklumat yang disebarkan dan dapat mengelak daripada melakukan kesalahan. Sekiranya didapati bersalah melanggar peruntukan di bawah Kod Kandungan 2022 yang berada di bawah naungan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, anda boleh dikenakan penalti maksimum RM50,000.

Kalau nak lebih faham, jom tonton video penerangan tentang 5 kesalahan yang berlaku ketika PRN tidak kiralah melibatkan pengundi atau ahli politik.

@thesiakapkeli

Kami dah pesan, anda jangan buat. Tapi no3 tu ramai dah buat tanpa sedar. #takpastijangankongsi #pilihanrayanegeri #fypシ #tranding @Content Forum

♬ original sound – Siakap Keli – Siakap Keli

Sebagai rakyat di bawah naungan sistem Demokrasi Berparlimen, marilah sama-sama kita menjadi rakyat yang cakna dengan mengelakkan segala perbuatan atau kesalahan yang mendedahkan diri terhadap tindakan undang-undang. 

Oleh itu, platform media sosial perlulah menjadi platform yang harmoni dalam menyemai idea-idea atau manifesto yang disampaikan daripada bakal pemimpin politik dan bukannya perkara negatif. 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?