Siakap Keli
lesen b2 mylesen
Gambar: Bernama

Lesen B2 Program MyLesen Kompeten – Hasbi

Lesen B2 Program MyLesen Kompeten – Hasbi

BACHOK, 9 Ogos (Bernama) — Lesen memandu kelas B2 (motosikal) daripada Program MyLesen adalah kompeten seperti pemilikan lesen biasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang lain, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata prosedur pengambilan lesen itu meliputi kursus kurikulum pendidikan pemandu (KPP), teori, praktikal dan praujian yang sama seperti yang ditetapkan JPJ.

“Walaupun lesen ini diberikan secara percuma, ia adalah lesen yang kompeten dan bukan ‘lesen terbang’ kerana kita mahu pastikan penunggang mematuhi peraturan di jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan.

“Pemilik lesen B2 ini juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang jika gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ Rospiagos Taha.

BACA JUGA: Lesen Fizikal Tak Pernah Dihentikan, Masih Boleh Dimohon – Anthony Loke

Hasbi turut menyampaikan sumbangan 300 unit topi keledar tajaan Malaysia Rail Link (MRL) kepada penerima lesen B2 Kelantan.

Seramai 900 penduduk Kelantan menerima bantuan lesen memandu B2 menerusi program MyLesen dengan penerima termuda berumur 16 tahun dan yang paling tua berumur 67 tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata mereka yang mendapat bantuan pemilikan lesen tersebut perlu menghabiskan semua prosedur sehingga mendapat lesen memandu mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu penerima bantuan mengikuti kelas separuh jalan. Walaupun inisiatif ini diberi secara percuma kita mahu pastikan penerima memanfaatkannya sebaik mungkin agar matlamat kita untuk bantu golongan B40 tercapai,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja pasar raya Siti Nor Ain Mohd Kamaruzaman, 22, berkata beliau sangat bersyukur menerima bantuan itu kerana nilai RM400 lebih untuk mendapatkan lesen motosikal sangat besar baginya dan beliau belum mampu menyediakan jumlah sebanyak itu.

“Lepas ini saya tidak perlu lagi risau menunggang motosikal untuk ulang-alik dari Kampung Salor, Kota Bharu ke tempat kerja di pusat bandar bagi menambah pendapatan keluarga,” kata ibu kepada bayi berumur sembilan bulan itu dan menambah beliau bekerja bagi meringankan beban suaminya Mohd Hanif Zaki, 22, seorang mekanik.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?