Siakap Keli
Lesen fizikal boleh dimohon
Kredit BERNAMA

Lesen Fizikal Tak Pernah Dihentikan, Masih Boleh Dimohon – Anthony Loke

Lesen Fizikal Tak Pernah Dihentikan, Masih Boleh Dimohon – Anthony Loke

Lesen kenderaan fizikal masih dikeluarkan dan boleh mohon macam biasa di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara, lapor Sinar Harian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lesen fizikal itu tidak pernah dihentikan dan ia masih boleh dimohon oleh pemandu.

“Kita bukan menghentikan pemberian lesen fizikal, lesen fizikal masih diberikan kepada pemohon.

“Oleh itu, jika mereka memandu di luar negara yang mana negara itu memerlukan lesen fizikal, mereka boleh mengambil lesen fizikal daripada JPJ semasa mereka memperbaharui lesen memandu masing-masing,” katanya di sini pada Sabtu. 

Beliau berkata demikian selepas dua lelaki warga tempatan meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial akibat disaman oleh pihak berkuasa Thailand.

Dua orang lelaki itu dipercayai sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki oleh mereka namun ia ditolak dan kemudiannya saman telah dikeluarkan kepada mereka.

Perkongsian yang dibuat di Twitter Acapkay menjelaskan bahawa situasi tersebut telah dialami olehnya bersama seorang lagi rakannya.

Sewaktu kejadian dia bersama rakannya itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand ketika menunggang motosikal di sebuah daerah di negara tersebut.

Difahamkan, mana-mana warganegara Malaysia yang memandu di Thailand tidak memerlukan lesen antarabangsa, sebaliknya hanya perlu memiliki lesen sah JPJ.

Februari lalu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian akan diubah kepada mod paparan digital.

Bagaimanapun tambah Anthony Loke, rakyat Malaysia yang memandu di luar negara tertakluk kepada undang-undang tempatan negara tersebut.

“Lesen digital ini diperkenalkan untuk pemandu kenderaan yang mana, mereka boleh membawanya (lesen digital) ketika pemeriksaan penguatkuasa dibuat. Jadi, mereka tidak akan disaman di negara kita.

“Bagaimanapun, jika mereka ke luar negara, sudah tentu mereka tertakluk kepada peraturan dan undang-undang di negara tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Pengangkutan tiada kuasa dalam pelaksanaan lesen memandu di luar negara termasuk Thailand.

BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma

“Semua pihak perlu faham bahawa Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan cara pelaksanaan berkaitan lesen memandu di negara lain seperti di Thailand.

“Jika sesebuah negara itu memerlukan lesen fizikal, maka kita (rakyat Malaysia) kena ikut. Itu adalah di bawah bidang kuasa mereka. Kita tak boleh nak minta negara luar ikut cara kita. Undang-undang antara satu negara dengan satu negara tidak sama,” katanya.

Tambah beliau lagi, urusan pembayaran untuk memperbaharui cukai jalan turut akan dilaksanakan secara digital dan ia akan dijalankan secara berperingkat.

“Pembayaran memang akan dibuat secara dalam talian dan ia dilakukan secara berfasa.

“Buat waktu ini, kita sedang buat ujian dalam sistem kita, yang mana melalui aplikasi MYJPJ pun kita boleh buat pembayaran,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka