Gunung Anak Krakatau di Indonesia meletus awal pagi Ahad, menyebabkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta dihentikan sementara susulan abu gunung berapi yang dikesan bergerak ke beberapa kawasan di barat Indonesia.
Memetik laporan ABC News, Agensi Geologi Indonesia memaklumkan gunung berapi yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera itu mula menunjukkan peningkatan aktiviti pada Sabtu sebelum meletus selama kira-kira 30 saat pada jam 3.53 pagi Ahad.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan tiada arahan pemindahan dikeluarkan berikutan penempatan terdekat terletak lebih 16 kilometer dari gunung berapi berkenaan.
Bagaimanapun, agensi berkenaan mengingatkan penduduk dan pelawat supaya tidak menghampiri kawasan kawah aktif dalam lingkungan tiga kilometer.
Abu gunung berapi dilaporkan merebak ke beberapa kawasan termasuk Jakarta dan wilayah Lampung di selatan Sumatera.
Susulan peningkatan aktiviti erupsi Gunung Anak Krakatau, pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta mengumumkan penghentian sementara operasi penerbangan dari jam 5.30 pagi hingga 9.30 pagi waktu Indonesia Barat (WIB).
Dalam makluman rasmi yang dikongsikan pihak lapangan terbang, semua pengguna perkhidmatan diminta menyemak semula status serta jadual penerbangan menerusi saluran rasmi syarikat penerbangan sebelum memulakan perjalanan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat berkaitan operasi lapangan terbang turut diminta menghubungi Contact Center InJourney Airports di talian 172.
Pihak lapangan terbang turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin berlaku serta menghargai perhatian, kefahaman dan kerjasama semua pengguna perkhidmatan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Abu Vulkanik Sampai Ke Beberapa Kawasan Jakarta
Sementara itu, pengguna Threads menerusi akaun @jkt.guide turut berkongsi perkembangan mengenai situasi di ibu negara Indonesia.
“Pagi ini Bandara Soekarno-Hatta ditutup & semua penerbangan dibatalkan
“Abu Vulkanik Krakatau Terpantau sudah sampai di beberapa area di Jakarta, termasuk di Menteng, Jakpus,” menurut perkongsian tersebut.
Berdasarkan pemantauan agensi vulkanologi Indonesia dan Pusat Penasihat Abu Gunung Berapi Darwin di Australia, dua awan abu dikesan menerusi imej satelit.
Satu kepulan abu mencapai ketinggian kira-kira 6,100 meter dan bergerak ke arah timur laut, meliputi sebahagian Jakarta, Banten, Jawa Barat serta kawasan perairan sekitarnya.
Satu lagi awan abu pula mencapai ketinggian kira-kira 15,200 meter dan bergerak ke arah barat serta barat laut, meliputi sebahagian Banten, Lampung dan Bengkulu, Selat Sunda serta kawasan Lautan Hindi di barat Sumatera.
Gunung Anak Krakatau sebelum ini pernah mencetuskan tsunami pada 2018 selepas berlaku runtuhan besar struktur gunung berapi berkenaan, mengorbankan sekurang-kurangnya 430 orang di Sumatera dan Jawa.

