Daratan baharu seluas kira-kira 30.3 hektar dilaporkan muncul di antara Pulau Gunung Anak Krakatau dan Pulau Sertung, Lampung Selatan, Indonesia.
Memetik Kompas.com, daratan tersebut dipercayai terbentuk daripada timbunan bahan hasil aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau sejak beberapa minggu lalu.
Kewujudan daratan itu disahkan Ketua Pos Pemantauan Gunung Anak Krakatau, Suwarno ketika dihubungi media tempatan.
“Ya, memang benar,” katanya ringkas.
Suwarno menjelaskan, daratan baharu itu terbentuk apabila bahan letusan yang dikeluarkan Gunung Anak Krakatau terkumpul di kawasan berkenaan.
Menurutnya, proses tersebut bukan berlaku secara tiba-tiba selepas satu letusan, sebaliknya bahan gunung berapi mula terkumpul apabila aktiviti Gunung Anak Krakatau meningkat.
Keadaan itu berlaku selepas status gunung berapi berkenaan dinaikkan kepada Tahap III pada 2 Julai lalu.
“Ya, hasil daripada letusan sebelum ini. Keluasan lebih kurang 30.3 hektar,” katanya.
Beliau berkata, lokasi daratan baharu itu juga masih tidak jauh dari kawasan Gunung Anak Krakatau dan sudah dikenal pasti dalam pemantauan pihaknya.
“Tak jauh pun, masih di kawasan itu. Bahan yang tercampak akibat letusan baru-baru ini terkumpul di situ,” katanya.
Daratan Baharu Muncul Dekat Gunung Anak Krakatau

Kemunculan daratan baharu itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan orang ramai, termasuk dakwaan ia mungkin menjadi permulaan kepada pembentukan gunung berapi baharu yang digelar sebagai “cucu Krakatau”.
Namun, Suwarno berkata belum ada bukti yang membolehkan daratan tersebut dikaitkan dengan pembentukan gunung berapi baharu.
Menurutnya, Gunung Anak Krakatau masih mempunyai saluran magma di bawah permukaan bumi, tetapi kemunculan daratan itu sahaja belum cukup untuk menunjukkan kewujudan saluran magma baharu atau pergerakan magma ke permukaan di kawasan berkenaan.
“Biasanya magma akan mencari ruang yang lebih mudah untuk keluar,” ujarnya.
Suwarno berkata, keadaan di bawah permukaan bumi juga tidak dapat dikenal pasti hanya berdasarkan bahan gunung berapi yang kelihatan di permukaan.
Setakat ini, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada terdapat magma yang sedang bergerak ke arah daratan baharu tersebut.
Beliau menganggarkan bahan yang membentuk daratan itu masih berkait dengan saluran magma utama Gunung Anak Krakatau, manakala kemungkinan wujudnya pusat letusan baharu masih belum dapat dipastikan.
“Kalau tentang kemungkinan munculnya ‘cucu’ Krakatau, kita masih belum tahu,” katanya.
Oleh itu, kemunculan daratan baharu tersebut perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan yang berlaku akibat aktiviti Gunung Anak Krakatau dan bukannya terus dianggap sebagai pembentukan gunung berapi baharu.
Sebelum ini, status Gunung Anak Krakatau diturunkan daripada Tahap III (Berjaga-jaga) kepada Tahap II (Waspada) pada Isnin.
Keputusan itu dibuat selepas penilaian menunjukkan aktiviti letusan, gempa bumi dan perubahan bentuk gunung berkenaan semakin berkurangan.
Walaupun statusnya diturunkan, orang ramai masih dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kawah yang masih aktif.
Bagi Tahap II, orang ramai dilarang menjalankan sebarang aktiviti dalam lingkungan dua kilometer dari kawah aktif.
Kemunculan daratan baharu itu kini menjadi antara perubahan akibat aktiviti Gunung Anak Krakatau yang terus dipantau pihak berkuasa.

