Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan MADANI Tak Pernah Keluarkan Sebarang Lesen Atau Permit Judi Baharu - MOF

Kerajaan MADANI
Kredit: Bernama

Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian dan tidak menambah bilangan kedai perjudian baharu sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022.

Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan mengenai perkara tersebut susulan isu lesen judi yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini.

Menurut MOF, kenyataan Sanusi itu jelas mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri Kedah.

MOF turut menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi parti PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.

“Berdasarkan rekod, kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan pada 2020 telah memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan sahaja setahun.

“Kemudian kerajaan persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada 2020 telah memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas 22 kali setahun.

“Selepas kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023.

“Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu dan tidak menambah bilangan kedai perjudian baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah MOF, jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an.

Malah, sebagai langkah kawalan, MOF juga sememangnya telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada pemegang lesen.

“Kerajaan terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen,” ujarnya lagi.

MOF turut memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.

Intipati
  • MOF menegaskan Kerajaan MADANI tidak mengeluarkan lesen atau permit judi baharu.
  • Jumlah lesen dan permit berkuat kuasa kekal berdasarkan kelulusan sedia ada sejak 1990-an.
  • Kerajaan menurunkan semula kekerapan cabutan khas kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan