Siakap Keli
nigeria jururawat
Kredit: BERNAMA

Warga Nigeria Bunuh Jururawat Terlepas Tali Gantung, Dipenjara 35 Tahun

Warga Nigeria Bunuh Jururawat Terlepas Tali Gantung, Dipenjara 35 Tahun

PUTRAJAYA, 9 Ogos (Bernama) — Seorang lelaki warga Nigeria terlepas tali gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya kepada hukuman penjara 35 tahun kerana membunuh ketua jururawat Hospital Serdang empat tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah turut memerintahkan tertuduh dikenakan 12 sebatan.

Lelaki berusia 40 tahun itu diperintahkan untuk memulakan hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 16 Mei 2019.

Vazeer, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, telah menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan membunuh selepas memutuskan bahawa sabitannya membunuh Siti Kharina Mohd Kamarudin selamat untuk dikekalkan.

Beliau berkata tiada keperluan bagi mahkamah untuk mempertimbangkan sama ada pembelaan berkanun lain digunakan untuk Gilbert kerana hakim perbicaraan telah menolak pembelaan alibinya (tertuduh).

Mahkamah Rayuan juga tidak menemui sebarang pembelaan berkanun yang boleh dikenakan terhadap tertuduh, katanya.

Mengenai hukuman, hakim itu berkata tiada bukti yang diselindung oleh pihak pendakwaan kerana tidak memberikan keseluruhan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Third Avenue di Cyberjaya, untuk beberapa hari selepas kejadian itu, kepada pihak pembelaan.

Sekiranya rakaman itu penting untuk kes pembelaan, tertuduh sepatutnya membuat permohonan untuk mendapatkannya, kata beliau.

BACA: Anak Pelakon Terkenal Sepanyol Mengaku Bunuh, Kerat Mayat Doktor

Hakim bagaimanapun berkata susulan pindaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah bersetuju dengan peguam Afifuddin Ahmad Hafifi bahawa hukuman mati perlu diringankan kepada hukuman penjara berdasarkan keadaan dan fakta kes.

“Kami mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 35 tahun dari tarikh tangkap dan dia juga akan dikenakan 12 sebatan,” katanya.

Pada 4 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi di Shah Alam mendapati tertuduh bersalah kerana membunuh Siti Kharina di sebuah unit kondominium Third Avenue di Cyberjaya antara 12.41 pagi pada 9 Mei dan 2.30 petang pada 15 Mei 2019 dan telah menjatuhkan hukuman mati.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Afifuddin berkata tertuduh dan arwah adalah pasangan kekasih.

Beliau berkata tiada bukti bahawa pembunuhan itu telah dirancang terlebih dahulu dan memandangkan darah tertuduh ditemui pada pakaiannya serta di tempat kejadian, pergaduhan secara tiba-tiba mungkin berlaku sehingga tercetus pergelutan antara anak guamnya dan si mati.

Hakim perbicaraan, katanya mempunyai kuasa untuk mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang lebih ringan seperti menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha berhujah bahawa hakim perbicaraan tidak perlu mempertimbangkan pembelaan berkanun lain kerana tertuduh telah memilih untuk pembelaan alibi.

Tiada keperluan untuk menyediakan rakaman penuh CCTV kerana tiada pergerakan di kawasan kondominium selepas kejadian itu, katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana