Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kunjungan Hormat Duta Besar Republik Uzbekistan Ke Atas Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan

syafiq halim
duta uzbekistan ke KPKM

PUTRAJAYA, 16 OGOS 2023 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Uzbekistan, TYT Ravshan Usmanov beserta delegasinya di Wisma Tani pada 15 Ogos 2023.

Pertemuan ini bagi membincangkan usaha kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya bagi menjamin sumber bekalan makanan yang stabil dan berkualiti. Agenda perbincangan juga menjurus kepada prospek akses pasaran baharu produk pertanian seperti produk tambah nilai daripada daging ayam dan daging lembu termasuk produk sarang burung.

duta uzbekistan ke KPKM

Selain itu, perbincangan juga berkisar mengenai cadangan Uzbekistan Center of Knowledge and Innovation in Agriculture untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya berkaitan beras, hortikultur dan baja.

Semasa pertemuan ini juga, Duta Besar Republik Uzbekistan menyampaikan jemputan daripada Menteri Pertanian Uzbekistan kepada YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menghadiri International Conference on Food Security (ICFS) yang dijadualkan pada September depan di Samarkand, Uzbekistan. ICFS ini adalah julung-julung kali diadakan dan dianjurkan Kerajaan Uzbekistan dengan kerjasama Food and Agriculture Organisation (FAO).

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin ini turut dihadiri oleh Pegawai Kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta jabatan dan agensi di bawahnya.

duta uzbekistan ke KPKM