Siakap Keli
pesawat terhempas elmina
Kredit: Bernama

Pesawat Terhempas Di Elmina Jenis Beechcraft Premier 1, Dinaiki 6 Penumpang & 2 Kru

Pesawat Terhempas Di Elmina Jenis Beechraft Premier 1, Dinaiki 6 Penumpang & 2 Kru

Sebuah kapal terbang peribadi telah dilaporkan terhempas berdekatan Shah Alam sekitar jam 3.00 petang, hari ini.

Menurut CAAM dalam satu kenyataan media, pesawat yang terhempas itu merupakan pesawat jenis Beechcraft Premier 1 dengan nombor pendaftaran N287V.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz.

Menurut CAAM lagi, kontak pertama antara pesawat dengan Menara Kawalan Udara Subang berlaku pada 2.47 petang dan pesawat itu mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.48 petang.

”Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Udara Subang mengesan kehadiran asap dari lokasi kejadian namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat itu.

Susulan itu, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) digerakkan untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.

”Seramai enam orang penumpang dan dua kru menaiki pesawat tersebut dan nasib kesemuanya tidak diketahui (setakat kenyataan media ini dikeluarkan),” kata CAAM.

Tambah kenyataan itu, siasatan ke atas insiden berkenaan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Terdahulu, tular di media sosial hasil perkongsian orang awam keadaan di lokasi nahas. Kesan terbakar di atas permukaan jalan dan kawasan tepi jalan jelas kelihatan.

Dalam perkembangan terbaharu, media melaporkan 10 mangsa terkorban dalam nahas tersebut melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat beserta dua orang awam.

Menurut media, seorang exco kerajaan negeri Pahang merupakan salah seorang mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.

Sumber: Bernama via Twitter

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma