Siakap Keli
KKM Tiga Produk Kosmetik Racun
Gambar: KKM

KKM Kesan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

KKM Kesan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan tiga produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual.

KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan bahawa produk yang dikenal pasti adalah BL Ledehh Day Cream 2 (mengandungi Merkuri), BL Ledehh Night Cream (mengandungi Merkuri) dan For U Night Cream 15 gram (mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17 – Valerate).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan rasmi menggesa orang awam untuk mengelakkan daripada membeli poduk tersebut.

Susulan itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi dan KKM telah membatalkan notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” katanya.

Tambahnya lagi, produk yang mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17 – Valerate pula perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Ia hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

BACA: KKM Batal Notifikasi Dua Produk Komestik Mengandungi Racun Berjadual

Antara kesan penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan pakar ialah boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit dan kulit menjadi hipersensitif.

Manakala, Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17 – Valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Justeru, penjual dan pengedar produk-produk ini digesa untuk menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” jelasnya.

BACA JUGA: Betul Ke Mula Benci Lama-lama Jatuh Cinta? Drama Ni Mungkin Ada Jawapannya

Jika melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan tersebut, pelaku boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya juga boleh dikenakan.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dalam pada itu, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Sumber: KKM 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?