Siakap Keli
guru islam murid hadis nawawi 40
Kredit: Bernama

Hanya Guru, Murid Islam Sahaja Terlibat Dalam Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi – KPM

Hanya Guru, Murid Islam Sahaja Terlibat Dalam Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi – KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan hanya guru dan murid beragama Islam sahaja terlibat dalam pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Menurut KPM, tujuan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah adalah untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang.

Selain itu, modul ini turut membantu guru dan murid beragama Islam untuk mengukuhkan kefahaman dalam agama.

“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti

“KPM sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai murni yang merangkumi elemen perpaduan, silang budaya, kepelbagaian agama dan saling menghormati antara kaum dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan di institusi-institusi pendidikan bawah kelolaannya.,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.

Menurut KPM, program rintis bagi pelaksanaan modul terbabit hanya melibatkan beberapa buah sekolah terpilih di Malaysia setakat ini.

Program rintis itu melibatkan 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara.

Modul Penghayatan Hadis Nawawi 40 pupuk warga sekolah untuk fahami hadis

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa modul tersebut  bertujuan memupuk penghayatan hadis dalam kalangan pelajar.

Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dipercayai membantu murid untuk menhayati hadis bermula pada peringkat sekolah lagi.

Pada peringkat awal, modul tersebut hanya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) .

Manakala, sekolah-sekolah di bawah KPM pula dijangka bakal melaksanakan modul tersebut pada tahun depan.

Tambahnya, modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh berkata, modul tersebut dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah.

Katanya, modul ini dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengukuhan dalam dan luar bilik darjah dan tidak terhad kepada sekadar membaca hadis sahaja.

Ia termasuk aktiviti seperti pembacaan dan huraian hadis 40 selepas solat, mewujudkan sudut info pengajaran hadis, perkongsian pengajaran hadis dalam perhimpunan mingguan.

Selain itu, pihak sekolah boleh mengadakan gotong-royong bertemakan amalan hadis 40 serta aktiviti silang budaya.

Beliau berkata, modul dirangka dan dibina KPM serta melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Pihaknya juga telah mengambil kira pendekatan meliputi semua peringkat sekolah termasuk sekolah dalam aliran perdana.

BACA: Kenapa Doktor Gigi Dipanggil Bantu Siasat Kemalangan Pesawat Terhempas? Ini Jawapannya

Sumber: Malaysia Gazette & Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma