Siakap Keli
muhammad qayyim oku penglihatan johan tilawah
Kredit: Sinar Plus

Ini Fakta Menarik Muhammad Qayyim, Qari OKU Penglihatan & Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa

 Ini Fakta Menarik Muhammad Qayyim, Qari OKU Penglihatan & Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa

Semalam, peserta Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan dinobatkan sebagai Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63.

Dalam acara berprestij itu, beliau berjaya meraih markah 94.96 peratus mengatasi peserta Iran, Alireza Bizhaniavval dengan beza 1.36 mata.

Manakala, wakil Brunei Darussalam, Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah pula memenangi tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

Menurut Sinar Plus, pemuda OKU ini merupakan seorang insan istimewa yang sangat berbakat dalam bidang al-Qur’an.

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dilahirkan pada 7 September 1998 di Ketereh, Kelantan. Beliau merupakan lepasan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan.

Disebabkan masalah penglihatannya, Muhammad Qayyim membaca petikan kitab suci itu dengan nenggunakan al-Quran braille.

Kredit: Sinar Plus

Dalam perjalanan menjadi seorang qari antarabangsa, beliau mendapat bimbingan daripada beberapa orang guru Al-Quran dan taranum terkenal tanah air. Antaranya Ustaz Yahya Daud, Ustaz Fauzi Awang, Ustaz Abdul Rahim Ahmad dan Ustaz Husin Yunus.

Menariknya, qari yang memiliki kelainan luar biasa ini menguasai tujuh jenis taranum iaitu baiyati, soba, hijaz, nahwand, rast, sikah dan jiharkah.

Bagi pendengar setia saluran radio Kelantan FM dan Klasik Nasional, kemerduan suara Muhammad Qayyim bukanlah satu perkara yang asing buat anda.

Untuk pengetahuan pembaca, beliau merupakan muazin yang melaunkan azan bagi kedua-dua saluran radio tersebut.

Menurut Sinar Plus, pemuda ini sememangnya terbukti berbakat sejak zaman kanak-kanaknya lagi. Muhammad Qayyi merupakan naib johan bagi Pertandingan Azan Subuh kategori junior bermasalah penglihatan peringkat kebangsaan ketika berusia 10 tahun.

Selain itu, beliau turut menjadi juara Pertandingan Azan Peringkat Kebangsaan pada 2006 dan 2007.

Pada peringkat antarabangsa pula, qari berbakat ini pernah mendapat jemputan dari Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada 2016.

Ketika itu, beliau dijemput untuk menghadiri penutupan Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Ankara.

Berdasarkan rekod, Muhammad Qayyim sebelum ini pernah meraih tempat ketiga, kedua dan johan bagi kategori Qari pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun 2017, 2019 dan 2020.

Kredit: Sinar Plus

Manakala pada Jun 2023 pula, beliau sekali lagi dinobatkan sebagai Johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Gelaran Johan Qari Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 baru-baru ini adalah pencapaian terbaiknya setakat ini.

Menyeru golongan OKU penglihatan untuk menceburi bidang al-Qur’an

Qari yang berusia 25 tahun ini meluahkan rasa syukur apabila usahanya untuk mendalami dan mempelajari al-Qur’an membuahkan hasil.

Untuk makluman, beliau telah meluangkan masa selama 16 tahun untuk mempelajari kemahiran bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille.

“Perasaan saya gembira ada, sebak ada… bagi saya, kita kena ada minat dalam bidang tarannum, saya sarankan untuk kita semua belajar tarannum sebab ia boleh buat kita rasa seronok dan kita boleh bawa bacaan dalam solat,” jelasnya.

Beliau turut memberikan sekalung penghargaan buat bapa dan keluarganya yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaannya selama ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru dan memberikan galakan kepada golongan OKU penglihatan sepertinya untuk mendalami al-Quran.

“Sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita ni kena juga belajar baca al-Quran kerana dengan al-Quran ni, cerah masa depan kita,” ujarnya.

Muhammad Qayyim sebelum ini mengakui beliau tidak begitu mengambil kira soal kalah dan menang. Sebaliknya, beliau menetapkan niat untuk mendapatkan keredaan daripada Allah S.W.T dan Rasulullah SAW.

BACA: Kenapa Doktor Gigi Dipanggil Bantu Siasat Kemalangan Pesawat Terhempas? Ini Jawapannya

Sumber: Sinar Plus

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma