Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selaras dengan usaha memartabatkan suara mahasiswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Parlimen Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menganjurkan program Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 pada 23 dan 24 Ogos 2023, bertempat di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, telah menyampaikan Penggulungan Usul Parlimen Mahasiswa Kebangsaan berdasarkan empat (4) teras perbahasan iaitu ekonomi, kebajikan, pemerkasaan dan pembangunan mahasiswa serta pengantarabangsaan.
Hasrat utama penganjuran program ini adalah untuk membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa IPT untuk menyuarakan dan membahaskan secara intelektual dan berhemah isu-isu merujuk kepada empat (4) teras tersebut. Seterusnya, usul-usul yang diutarakan semasa program ini akan diangkat sebagai agenda perbincangan Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini.

Sebagai persediaan kepada Program Parlimen Mahasiswa kali ini, bermula Disember 2022 sehingga Februari 2023, KPT dengan kerjasama MPPK telah melaksanakan jelajah kebajikan ke enam (6) zon iaitu Zon Utara di Universiti Sains Malaysia (USM), Zon Tengah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mendapatkan cadangan, pandangan serta idea daripada pemimpin mahasiswa tentan isu-isu berbangkit berhubung mahasiswa.
Hasil daripada jelajah tersebut kemudiannya telah digunakan sebagai input bagi pembentukan teras perbahasan Parlimen pada kali ini.
KPT berharap agar program Parlimen Mahasiswa ini dapat memberi pengalaman secara langsung dan kefahaman yang lebih mendalam kepada mahasiswa tentang peranan Parlimen selaku badan perundangan tertinggi negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.