Polis Bantuan Dilapor Maut, Ditemui Dengan Kesan Tembakan Pada Kepala
KOTA KINABALU — Dalam satu kejadian di ruang rehat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi tadi, seorang anggota polis bantuan ditemui maut dengan kesan satu das tembakan pada bahagian kepala, lapor Sinar Harian.
Mangsa, 42, ditemui berlumuran darah oleh rakan sekerjanya sekitar jam 9.30 pagi Selasa di sini.
Ketika ditemui dalam keadaan terlantar di kerusi rehat, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala.
Berikutan itu, sepasukan anggota polis ditugaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat. Difahamkan, mangsa masih bernyawa ketika anggota polis tiba di tempat kejadian.
Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sekitar 30 minit selepas pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) tiba.
Dalam pada itu, siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta Unit Forensik IPK Sabah di lokasi kejadian.
BACA JUGA: Polis Tembak Mati Isteri
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim sewaktu ditemui di lokasi kejadian turut mengesahkan insiden berkenaan.
“Mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk tindakan lanjut dan kes mengenai kejadian itu masih dalam siasatan polis,” ujarnya.
Kejadian itu juga menyaksikan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) IPK Sabah, Superintenden Alhusin Halil berada di tempat kejadian.
Anggota Polis Ditemukan Maut Dengan Kesan Tiga Tembakan
Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 19 Februari lalu, lapor Bernama.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Daerah yang berkaitan juga telah mengambil tindakan sewajarnya. Namun insiden berkenaan berlaku atas beberapa faktor yang mungkin tidak dapat dielakkan.
Tambah Tan Sri Acryl Sani, berita tersebut sangat mendukacitakan buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dari sudut siasatan, kami (PDRM) ambil maklum kematian anggota tersebut disahkan sebagai mati mengejut (SDR). Polis Pulau Pinang sudah melengkapkan siasatan dan bedah siasat termasuk sudah sediakan dokumen sepatutnya untuk dikemukakan bagi permohonan inkues untuk kenal pasti punca kejadian.
“Saya dimaklumkan beliau menghadapi masalah keluarga dan telah pun diambil tindakan oleh Ketua Polis Daerah yang berkaitan, namun oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielak, kita pun tidak tahu mengapa anggota ini ambil tindakan sedemikian yang di luar jangkaan kita,” katanya
Sumber: Sinar Harian