Siakap Keli
polis tembak mati isteri
Kredit: BERNAMA

Polis Tembak Mati Isteri

Polis Tembak Mati Isteri

KANGAR, 5 Mac (Bernama) — Seorang anggota polis berpangkat Lans Kopral menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang dipercayai abang ipar suspek, bahawa telah berlaku tembakan di rumah suspek.

“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira pada 8 pagi, anggota yang bertugas cuba berhubung dengan suspek namun gagal, menyebabkan polis membuat serbuan ke rumah tersebut 9 pagi,” katanya.

Yusharifuddin berkata pihaknya berjaya menahan suspek dan juga merampas senjata api yang digunakan.

“Ketika ditahan, suspek berada dalam bilik tidur utama bersama mayat isterinya berumur 26 tahun.

BACA: Anggota Polis Ditemukan Maut Dengan Kesan Tembakan Ada Masalah Keluarga – KPN

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri, dan meninggal akibat tembakan di tempat kejadian,” katanya.

Yusharifuddin berkata mayat mangsa telah dibawah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapat perintah reman esok.

“Kita masih lagi menyiasat motif kejadian,” katanya.

Pesara maut, tembak diri sendiri selepas tembak mati isteri

Sebelum ini, media melaporkan seorang pesara Pejabat Perhutanan Jerantut ditemukan maut apabila menembak isterinya sebelum menembak diri sendiri selepas bertengkar berhubung agihan hasil jualan tanah di Kampung Machang Raja Labu, Jerantut.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Mazlan Hassan, berkata isteri pesara berusia 67 tahun itu ditemukan oleh jiran yang mendengar dua das tembakan disusuli jeritan meminta tolong dari bahagian belakang dapur rumah pasangan itu sekitar jam 8 pagi.

“Saksi kejadian menyatakan melihat mangsa terbaring kesakitan dan berdarah di pinggang lalu mengejarkan mangsa ke Hospital Jerantut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati dia mengalami kecederaan di belakang rusuk kiri.

“Suami mangsa berusia 73 tahun pula ditemukan di rumah dalam keadaan terduduk bersama selaras senapang patah dengan kecederaan di leher sebelah kiri,” katanya.

Mazlan berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran selepas isterinya, juga seorang pesara Pejabat Perhutanan Jerantut, tidak memberikan agihan hasil jualan tanah kepada suaminya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Tak Tahan Kena Ejek, Bapa Nekad Tembak Mati Anak Perempuan Selepas Video Menarinya Tular

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana